Mahathir akan hantar Mukhriz untuk pujuk PAS sertai Pakatan.

27/1/2017- Meskipun pada Ahad lepas, Tun Dr Mahathir berkata PAS sudah kehabisan masa dalam perbincangan kerjasama pilihan raya antara parti pembangkang.

Bagaimanapun, semalam Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu telah mengeluarkan kenyataan di mana keputusan kerjasama antara PPBM dan PAS akan ditentukan selepas 2 Februari pula.

PPBM memaklumkan perkara itu kononnya selepas seorang pemimpin kanan PAS baru-baru ini membidas Mahathir dengan menggelarkannya ‘angkuh’ dan ‘diktator’.

Baru-baru ini, Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan dan Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki membidas pemimpin PPBM itu.

Nasrudin menyifatkan Mahathir “angkuh” dan “diktator” kerana kecewa dengan keengganan PAS menyertai pakatan pembangkang, sementara Zuhdi berkata perkara yang sama.

Berdasarkan kenyataan Mahathir ketika sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam, Mahathir mendakwa sesetengah pemimpin PAS berhasrat mensabatoj kerjasama antara mereka.

Meskipun dikecam, Mahathir mengatakan perbincangan dengan PAS masih diteruskan dan pertemuan akhir akan diadakan pada 2 Februari ini. PPBM akan membuat keputusan berhubung kerjasama dengan PAS selepas itu.

Menurut Mahathir, perjumpaan itu akan diketuai oleh Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk menentukan pendirian PAS.

“Sebelum itu, kita tidak akan kata apa-apa sehingga rundingan itu tamat. Sama ada PAS masuk atau pun tidak, penyertaan kita bersama pembangkang akan dibuat secara rasmi,” katanya, merujuk kepada kerjasama antara PPBM dan Pakatan Harapan.

Disamping itu, Mukhriz berkata, PPBM menyerahkan draf rangka perjanjian kerjasama kepada PAS dalam perbincangan terdahulu, dan parti Islam itu akan memberikan maklum balas pada mesyuarat akan datang.

Selain itu, bekas Menteri Besar Kedah itu menyatakan proses yang sama digunakan dalam usaha membina kerjasama antara PPBM dan Pakatan Harapan.

Menurut Mukhriz ketika ditanya cara kerjasama dengan parti Islam itu akan dilakukan memandangkan PAS tidak mahu berpakat dengan DAP dan AMANAH, beliau mengatakan PPBM-PH dan kerjasama yang dihasratkan dengan PAS itu kononnya akan bergerak seiring.

Tambah beliau lagi, perbincangan antara PPBM dan PAS tidak melibatkan rakan pakatan parti Islam itu, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Sementara itu, Mahathir turut menyatakan bahawa PPBM akan membuat beberapa cadangan bagi menunjukkan perpaduan pembangkang, termasuk logo dan manifesto bersama, diikuti perbincangan kerusi pilihan raya.

Selain itu, Mahathir juga cuba menegaskan semua parti pembangkang mesti sedia mengorbankan pendirian dan matlamat tertentu demi menjayakan kerjasama pilihan raya.

Sementara itu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin pun turut menyatakan kerjasama dengan Pakatan Harapan perlu diangkat ke aras baru.

“Yang penting ketika ini untuk bergerak ke hadapan, contohnya urusetia bersama bagi menentukan bidang kerja untuk menghadapi pilihan raya dan kekerapan mesyuarat majlis presiden bagi membincangkan perkara pokok dan pendirian bersama.” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *