Mahathir Cabar Kerajaan Tangkap Dirinya Jika Bersalah Fitnah Sultan Johor

18/1/2017- Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad tetap mempertahankan pendiriannya berkaitan kenyataannya mengenai projek pembangunan Forest City di Bandar Iskandar, Johor yang mendapat kritikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Beliau juga bersedia untuk ditangkap jika bersalah.

Dalam blognya semalam, Pengerusi Bersatu itu berkata, beliau bersikap terbuka dalam menjawab cabaran Tuanku Sultan.

“Sesiapa sahaja boleh berkata apa-apa terhadap saya, dan saya mengambil sikap terbuka terhadap kebebasan mereka berbuat demikian. Saya harap di dalam menjawab terhadap cabaran DYMM Tuanku, saya tidak akan dipenjara tanpa bicara. Jika perbicaraan dapat diadakan, silalah tangkap saya,” katanya.

Namun, beliau berkata, beliau tidak tahu samada benar atau tidak cabaran yang dilontarkan oleh DYMM Sutan Johor terhadapnya berkenaan pembangunan di Johor Bharu.

“Mungkin hanya akhbar The Star yang mentafsirkan apa yang dititah DYMM Tuanku sebagai melontarkan cabaran terhadap saya. Tetapi selagi DYMM Tuanku tidak menafikan mencabar saya, saya akan anggap laporan The Star sebagai benar,” ujarnya.

Dalam masa sama, Mahathir mencabar The Star untuk siarkan suratnya bertarikh 16 Januari itu, secara keseluruhan dan disiarkan oleh akhbar itu di “ruang surat” semalam, dan surat sama turut dimuat naik di blognya itu.

Mahathir merujuk kepada kenyataannya yang dilaporkan Bloomberg pada 22 November lalu dan dirujuk The Star dalam temubual eksklusif yang diadakan akhbar itu bersama Sultan Ibrahim yang disiarkan semalam dan dipetik oleh beberapa media lain.

Berdasarkan kenyataan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini, baginda mengkritik Mahathir kerana cuba memainkan ‘politik perkauman’ dalam cubaannya menyingkirkan pelaburan China dari negeri itu.

Sultan Ibrahim mendakwa bekas perdana menteri itu sengaja ‘mencipta ketakutan, menggunakan kaum untuk memenuhi motif politik.

“Tidak mengapa untuk tidak bersetuju tetapi tolonglah jangan mereka-reka benda,” kata Sultan Ibrahim seperti dipetik melalui The Star.

Kata Mahathir, Bloomberg melaporkan sebuah syarikat dari China akan membangunkan Forest City yang akan memuatkan 700,000 penduduk. Selain itu, ia melapor bahawa orang Cina dari China diterbangkan untuk melihat pameran model sebesar manusia (bergambar), malahan akan membeli kebanyakan hartanah di Forest City.

Mahathir mengaku beliau memperkenalkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ketika zaman pemerintahannya, namun beliau cuba mempertahankan apabila ujarnya itu tidak bertujuan membeli tanah di Malaysia, membangunkannya dan menjual kepada rakyat asing yang akan tinggal di sana.

FDI ialah berkenaan pelaburan di dalam industri pembuatan. Syarikat Malaysia akan membina bangunan dan rakyat akan bekerja di dalam industri-industri tersebut. Mereka akan mempelajari kemahiran dan akan memulakan perniagaan pengeluaran barangan mereka sendiri.

“Kontraktor Malaysia berkebolehan membina pelbagai jenis bangunan dan memajukan tanah. Kita tidak perlu orang asing untuk ini. Lihatlah Malaysia hari ini.

“Sembilan puluh peratus atau lebih daripada bangunan baru ini dan pembangunan lain dibuat oleh syarikat Malaysia. Majoriti pembeli juga rakyat Malaysia dan mereka juga bermastautin di situ.

“Tetapi apabila rakyat asing beli tanah, tidak terdapat aliran masuk wang pun. Kebanyakan sumber kewangan dipinjam dari dalam negara. Dan mereka juga boleh berniaga dengan menggunakan bank mereka sendiri.

“Apa sahaja pendapatan syarikat asing ini perolehi akan dihantar pulang dan menyebabkan pengaliran keluar wang. Apabila diperkenalkan skim di mana pembeli boleh beli hartanah di negara China dan mendapat satu unit rumah pangsa atau rumah secara percuma di Malaysia, tidak akan ada keuntungan yang dibuat di Malaysia dan Kerajaan Malaysia tidak akan mendapat hasil cukai,” katanya.

Oleh itu, beliau cuba menegaskan perlunya ada dokumen transaksi berkaitan pelaburan, jumlah pekerja asing, negara asal, pembeli, bank yang menyediakan pinjaman serta semua penghantaran wang keluar negara dibuat secara telus.

Berhubung tuduhan mengatakan beliau rasis dan bersikap perkauman serta digelar ultra Melayu, Mahathir kononnya berpandangan ia semata-mata untuk memburukkan imejnya dan menunjukkan kegagalan pihak tertentu untuk mematahkan apa yang beliau katakan mengenai kepincangan urustadbir oleh kerajaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *