Mahathir hanya sibuk berpolitik tanpa pedulikan Islam.. – Hadi Awang

30/01/2017 – PAS perlu mempunyai kedudukan yang kukuh dan kuat melalui strategi mempertahankan Kelantan, memerintah semula Terengganu dan Kedah, memimpin Selangor, serta mendapat sekurang-kurangnya 40 kerusi parlimen.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, walaupun sukar untuk mendapat majoriti 112 kerusi dan memerintah sendiri, tetapi PAS mempunyai tanggungjawab mempertahankan Islam dan memastikan Islam memerintah, ujarnya pada Majlis Taklimat Khas Presiden dan Dana Sumbangan Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, di sini semalam.

Kata beliau, tahaluf siyasi bersama DAP dan PKR hampir berjaya menjatuhkan Umno dan BN dengan mencapai peratus tinggi undi popular iaitu 89 kerusi pembangkang dan 132 kerusi kerajaan.

Tetapi jelas Tuan Guru, wujud keadaan tidak seimbang pada kedudukan politik dan jumlah kerusi Islam menyebabkan PAS melakukan muraja’ah semula terhadap tahaluf siyasi.

“Sedarkah saudara-saudari bagaimana kedudukan kerusi itu? Tak sedar 89 kerusi pembangkang itu PAS 21 kerusi, PKR 30 kerusi, DAP 38 kerusi. Kekuatan jentera PAS 25 peratus, parti lain bahagi-bahagi, (tapi) kerusi PAS begitu kedudukannya.

“Orang kita menang sorak, ekor berlumur taik. Sedar ke tidak? Ini kena faham. Dari 89 kerusi pembangkang, 39 adalah Islam dan 50 bukan Islam. Ada cadangan buat undi tidak percaya nak ubah kerajaan,” cerita beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tambah beliau, mereka yang tidak faham itulah menubuhkan PAN, manakala Tun Dr Mahathir Mohamad hanya hendak mempertahankan kedudukannya semata-mata, tanpa mempedulikan Islam.

Kata Tuan Guru lagi, Allah SWT telah menunjukkan hakikat sebenar kesetiaan rakan dalam Pakatan Rakyat yang membantah PAS melaksanakan Islam walaupun telah bersefahaman untuk tidak menyentuh dasar parti masing-masing.

Apatah lagi jelasnya, pindaan Perlembagaan Malaysia bagi membolehkan syariat Islam dilaksanakan memerlukan dua pertiga majoriti sokongan sedangkan jumlah Ahli Parlimen Islam tidak mencukupi.

Keadaan itu terang beliau, berpunca daripada tindakan Tun Mahathir yang mewujudkan kawasan Parlimen campuran antara Islam dan bukan Islam dengan nisbah tertentu.

Selain turut diletakkan jumlah pengundi mencecah 100,000 dalam satu parlimen di Kedah, Terengganu, Kelantan dan utara Perak, berbanding sekitar 20,000 di Johor dan negeri lainnya.

Menurut Tuan Guru, usaha tersebut bertujuan menyingkirkan PAS dan memenangkan Umno selamanya di mana kini bekas Perdana Menteri itu melihat kesan perbuatannya sebagaimana tujuan doa Almarhum Ustaz Datuk Fadzil Mohd Noor agar Tun dipanjangkan umur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *