Mat Sabu tuduh UMNO pakat dengan Tauke Cina seleweng duit rakyat.

30/01/2017 – Agenda anti-Cina DAP merupakan taktik yang digunakan Umno sejak sekian lama untuk memainkan sentimen orang Melayu bagi mengekalkan kuasa.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu berkata hakikatnya Umno bukan berusaha menjaga orang Melayu kerana dalam masa yang sama mereka berpakat dengan tauke-tauke Cina MCA menyelewengkan harta rakyat.

“Orang Melayu yang berada di pusat-pusat pengajian tinggi, polis, tentera dan jabatan-jabatan kerajaan diasak dengan kebencian terhadap Cina DAP.

“Mereka ditakutkan dengan ugutan kalau Umno kalah, DAP akan memerintah,” katanya ketika berceramah di Kampung Lati, Pasir Mas malam tadi.

Orang Melayu kata beliau terus menyokong Umno kerana dakyah ini walaupun dalam mengendalikan ekonomi negara mereka ditindas oleh Umno.

“Semua orang tahu di negara ini kalau projek bernilai jutaan ringgit, Umno berkongsi dengan kapitalis MCA dan orang Melayu hanya diberi projek-projek kecil dengan lesen kelas F.

“Sekarang heboh duit Tabung Haji diselewengkan, tuan-tuan tau ada berapa orang Dap yang bekerja di situ?” soalnya.

Kini katanya, negara ini sedang dijual oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada Republik Rakyat China.

“Lapangan terbang tentera Sungai Besi, projek keretapi laju Pantai Timur dan Forest City di Johor sudah dipersetujui untuk diserahkan kepada syarikat-syarikat dari negara China.

“Bila projek-projek mega seperti diserah kepada pihak China peluang untuk warga tempatan termasuk rakyat berbangsa Cina sendiri akan tertutup.

“Syarikat China akan menggunakan kaedah membawa seratus peratus peralatan pembinaan dan tenaga buruh dari negara mereka,” katanya.

Mohamad yang pernah menjadi timbalan presiden Pas melahirkan rasa terkejut kerana isu anti-DAP yang dulunya dimainkan Umno kini dijadikan agenda oleh Pas.

“Dulu masa kita dalam Pas dibuat tema muktamar ‘menggempur pemikiran assobiyyah’.

“Ayat-ayat Al Quran dan hadis yang mengutuk perkauman sempit membela kezaliman bangsa sendiri kita hafal dan buat modal ceramah.

“Sekarang dah jadi terbalik, mereka pulak ikut rentak Umno, bencikan kaum lain walaupun mereka sebenarnya dizalimi oleh Umno,” katanya.

Presiden Amanah itu dalam lawatan kerjanya sehari ke Kelantan memulakan tugas sejak awal pagi dengan menghadiri upacara menaikkan bendera gergasi Amanah di Kampung Sabak, Pengkalan Chepa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *