Mufti Perlis fatwakan isteri tak Nusyuz jika keluar rumah tanpa izin..

11/01/2017 Perlis – Dalam Islam, tempat seorang isteri adalah di sisi suami dan bertanggungjawab menjaga serta memelihara rumah yang telah disediakan oleh suami. Malah isteri juga tidak boleh keluar atau meninggalkan suami begitu sahaja tanpa mendapat keizinan daripasa suami itu sendiri.

Namun begitu, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin telah mengeluarkan satu fatwa yang membenarkan seseorang isteri untuk keluar dari rumah tanpa kebenaran suami sekiranya merasakan dirinya dalam keadaan bahaya.

Perkara ini dibuat untuk mengelakkan kezaliman berlaku terhadap wanita dan isteri. Jika sebelum ini umumnya mengetahui seseorang isteri yang bertindak keluar dari rumah tanpa izin suami boleh dianggap nusyuz dari segi hukum dan undang-undang.

Tetapi, jika isteri keluar dari rumah tanpa izin suami kerana sering dizalimi hukumnya adalah tidak dikira nusyuz. Jika isteri merasakan agama, diri, kehormatan, keluarga atau hartanya berada dalam keadaan bahaya yang diiktiraf syarak, tidak mempunyai jalan keluar dan tidak mampu untuk ditanggung jika terus berada di rumah suami.

“Ini setelah isteri benar-benar mendapati tiada langkah penyelesaian melainkan keluar meninggalkan rumah suami.

“Begitu juga jika suami gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat dan sesuai atau nafkah yang mencukupi, maka isteri boleh keluar rumah tanpa mendapat izin suami dan tidak dikira nusyuz sehingga suami dapat menunaikan tanggungjawabnya,” katanya.

Meminta keizinan suami untuk isteri keluar rumah jika suami menjalankan tanggangjawabnya dengan betul. Tujuan meminta izin suami ini kerana suami diperlukan kerana suami adalah pelindung, pembimbing dan ketua keluarga. Seorang wanita bergelar isteri adalah merupakan tanggungjawabnya, perlu untuk seorang suami mengetahui ke mana isteri berada.

Fatwa ini dibuat apabila terlalu banyak kes berkaitan suami kaki pukul, terlibat dengan dadah, terlibat dengan along sehingga boleh membahayakan isteri. Malah pasangan yang mempunya penyakit kelamin yang berbahaya seperti AIDS dan seumpamanya juga dibenarkan untuk keluar tanpa kebenaran suami. -UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *