Nama Sharizat Jalil Dicalonkan Untuk Bertanding Di Permatang Pauh

04/01/2017 – Selepas PAS dan PAN dikatakan berminat untuk bertanding menentang PKR dan UMNO di kerusi panas Parlimen Permatang Pauh pada pilihanraya umum akan datang, kini suasana semakin panas apabila Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil dikatakan bakal menjadi calon UMNO/BN dikawasan tersebut.

Shahrizat yang merupakan anak kelahiran Pulau Pinang difahamkan menjadi calon pilihan untuk UMNO/BN merampas kembali kerusi parlimen berkenaan yang menjadi kubu kuat PKR selama beberapa penggal.

Jika benar nama beliau dicalonkan sebagai pilihan UMNO/BN pada pilihanraya umum akan datang, kekuatan beliau selaku Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia pastinya tidak boleh dipandang ringan oleh parti-parti lain yang bertanding.

Peluang Shahrizat untuk memenangi kembali kerusi Permatang Pauh juga dilihat cerah jika seluruh kepimpinan UMNO kawasan berkenaan sebulat suara memberikan sokongan terhadap beliau. Cuma masalah akan timbul jika ada pemimpin-pemimpin kawasan yang turut menyimpan keinginan mahu bertanding, walaupun sedar tak berpeluang untuk menang.

Sebelum ini, Pemuda PAS menyatakan minat mereka untuk bertanding mewakili parti Islam tersebut di Parlimen Permatang Pauh di PRU14 nanti. Mereka juga menyifatkan kerusi parlimen berkenaan sememangnya milik PAS sebelum ini, sebelum diserahkan kepada PKR melalui Anwar Ibrahim.

Selain itu, PAS juga optimis bahawa peluang mereka sangat cerah untuk memenangi kawasan parlimen tersebut, bersandarkan trend pengundi melayu yang semakin memperakui usaha-usaha PAS memartabatkan Islam di dalam negara.

Walaupun terpaksa berhadapan dengan persaingan beberapa penjuru, PAS juga yakin sokongan serta ahli-ahli PAS dikawasan tersebut lebih mempercayai PAS berbanding parti-parti lain yang bertanding.

Parti Amanah Negara (PAN) pimpinan Mohamad Sabu pula dikatakan berhasrat menawan kerusi Permatang Pauh daripada PKR, kerana mereka berpendapat bahawa mereka lebih layak menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Populariti Mohamad Sabu yang merupakan bekas Timbalan Presiden PAS, dikatakan mampu menarik undi dari kalangan ahli-ahli serta penyokong PAS. Hubungan baik pemimpin-pemimpin parti berkenaan dengan DAP juga dianggap sebagai kelebihan untuk PAN menarik undi bukan melayu di kawasan terbabit, khususnya di DUN Seberang Jaya.

PKR bagaimanapun enggan mengalah didalam perebutan kerusi panas ini. Ada ura-ura yang mengatakan calon baru dari PKR akan ditempatkan di P44 semasa PRU14 nanti. Antara nama yang dikemukakan adalah Nurul Nuha dan juga anak lelaki Anwar, iaitu Ehsan bin Anwar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *