Nelayan Rugi RM 23’000 kerana nak cepat kaya..

13/01/2017 – AIR HITAM – Pulangan lumayan mendorong enam sahabat menyertai skim cepat kaya hingga mengalami kerugian sebanyak RM23,000 selepas pihak penganjur gagal melunaskan bayaran seperti dijanjikan.

Menurut mangsa mahu dikenali sebagai Rahmat, kebanyakan mereka terdiri daripada ahli Persatuan Nelayan Kuala Kedah, menyertai skim berkenaan kerana mahu meringankan beban keluarga.

Kata Rahmat, enam rakannya mendapat tahu mengenai skim berkenaan melalui kepimpinan Persatuan Nelayan Kuala Kedah yang dikatakan dapat membantu ahli.

“Skim cepat kaya itu dikenali sebagai saham 1WHP. Kami telah menyerahkan duit di pejabat persatuan dan kemudian diarahkan untuk mempromosikan saham berkenaan kepada rakan lain.

“Menurut syarat ditetapkan, pelabur akan menerima dividen RM100 setiap minggu jika mereka membuat pelaburan sebanyak RM1,000. Semua dividen itu akan dimaklumkan melalui SMS,” katanya yang kerugian RM15,000.

Tambah Rahmat, selepas seminggu, mereka menerima SMS daripada pihak penganjur yang memaklumkan mereka telah menerima dividen itu.

Bagaimanapun katanya, hasil dividen itu tidak dapat dikeluarkan dan diminta merujuk kepada pihak penganjur.

“Selepas saya dan rakan pergi menjelaskan masalah itu, pihak berkenaan suruh kami tunggu serta bersabar. Kini sudah hampir dua tahun sejak buat pelaburan pada Oktober 2014, kami belum lagi menerima sebarang dividen,” katanya.

Bagi Razlan (bukan nama sebenar) pula, dia sangat kecewa dengan beberapa ahli lembaga Persatuan Nelayan Kuala Kedah itu yang mempromosikan saham berkenaan kepada ahli.

Menurutnya, mereka yakin dengan saham berkenaan kerana percaya kepada beberapa ahli lembaga persatuan itu, tetapi sehingga kini belum dapat sebarang dividen.

“Saya melabur dalam saham berkenaan sebab percaya kepada kepimpinan itu. Diharap duit saham itu akan meringankan perbelanjaan saya, namun harapan saya hancur apabila sehingga kini masih belum menerima dividen.

“Difahamkan, ramai lagi nelayan yang menjadi ahli persatuan itu turut tertipu. Mereka bukan sahaja di Kuala Kedah, tetapi juga dari beberapa kawasan penangkapan ikan di negeri ini,” katanya.

Kecewa dengan skim berkenaan, mereka telah membuat laporan di Balai Polis Kota Setar pada 3 Januari lalu dan diharap pihak berkuasa dapat campur tangan bagi menyelesaikan masalah itu.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Hamid Bahari berkata, pihaknya tidak terbabit dengan saham 1WHP.

Caruman itu bukan sahaja melibatkan ahli persatuan itu, tetapi juga orang ramai yang melabur dengan sukarela.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Rohana Omar turut mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat di bawah Seksyen 420KK kerana menipu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *