Nurul Izzah mahu adakan Jelajah kempen bebaskan Anwar di seluruh negara.

20/01/2017 – Majlis pelancaran rasmi “10 Tahun Anwar Seorang Tahanan Politik” yang menyaksikan kehadiran penyokong Reformasi 1998 berlangsung di kediaman Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bukit Segambut, Kuala Lumpur malam tadi.

Anak beliau yang juga Naib Presiden PKR, Nurul Izzah dalam ucapannya berkata, kempen tersebut bagi mengingatkan usaha membebaskan Anwar harus diteruskan.

“Sejarah itu memberi kita kekuatan. Kita ingat sejarah maka kita sayang Malaysia dan mengukuhkan lagi semangat kita melaksanakan reformasi berjuang demi rakyat.

“Kita tidak mahu sama ada Rafizi Ramli, Tian Chua, Lim Guan Eng dan ramai lagi dipenjarakan kerana keberanian mengkritik pemimpin yang zalim dan diktator,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Menurutnya, tempoh 10 tahun itu merangkumi tahanan politik ke atas Anwar pada tahun 1974 diikuti pemenjaraan pada 1998 seterusnya dipenjarakan sekali lagi pada 2015.

“Kali pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim ditahan adalah pada tahun 1974. Itu tarikh ketika beliau selaku mahasiswa membantah kebuluran di Baling.

“Gerakan Reformasi mampu bertahan sehingga pada masa ini kerana adanya keberanian anak muda melawan arus. Kita berbangga apabila seorang pejuang tidak takut pada risiko dalam membicarakan perjuangan.

“Ramai warga emas tetapi berjiwa muda semangat untuk berjuang,” ujanrya lagi sambil menyebut nama antara penyokong Reformasi iaitu Haji Rosli dan Pak Amjal.

Terdahulu, Pengerusi Kempen #BebasAnwar Adrian Lim Chee berkata, siri jelajah ke seluruh negara untuk membawa mesej bebaskan Anwar akan dilaksanakan selain bersolidariti berkumpul di Penjara Sungai Buloh seperti tahun lalu.

“Ini bukan kali pertama tetapi kali ketiga Anwar dipenjarakan. Kalau dicampurkan kesemua pemenejaraan itu, Anwar ditahan selama 10 tahun sebagai tahanan politik.

“Rakyat Malaysia yang masih sokong Umno belum terlambat untuk bertaubat. Ambil peluang ini (menyokong kempen Bebas Anwar). Kami juga menyeru semua parti politik tidak kira MCA, MIC itu bagus. Kalau Umno tiba-tiba sokong itu lagi bagus.

“Kita harap seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan status sosial menyokong kempen ini. Ia bukan milik mana-mana parti politik tetapi kempen milik rakyat. Bebas Anwar, bebas rakyat,” tegasnya lagi.

Sementara itu, Institut Darul Ehsan (IDE) dan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) masih membuka ruang untuk orang ramai mengirimkan karya memperingati perjuangan Anwar bagi dimuatkan dalam buku antologi puisi yang akan dilancarkan pada 8 Februari depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *