PAN dakwa Guru Besar di Kelantan kena tindakan disiplin terima bantuan banjir.

28/01/2017 – Pemuda PAN Kelantan mendedahkan kerajaan negeri telah mengambil tindakan keterlaluan terhadap seorang guru besar gara-gara menerima sumbangan Misi Bantuan Pasca Banjir inisiatif parti itu.

Ketuanya, Hazmi Hassan berkata, tindakan kerajaan diterajui Pas menurunkan pangkat guru besar itu sama seperti sikap kerajaan Umno selama ini terhadap golongan guru yang dianggap memihak kepada parti lawan.

“Hanya kerana menerima sumbangan banjir daripada Pemuda Amanah, seorang mudir (Guru Besar) ditukarkan kepada guru biasa. Dulu kata Umno zalim.

“Nah, sekarang kerajaan Pas Kelantan pula menzalimi seorang mudir hanya sebab menerima kedatangan Pemuda Amanah untuk menyerahkan sumbangan banjir kepada pelajar,” ujarnya seperti dipetik di akaun status Facebook beliau.

Mengulas lanjut, beliau turut membidas gejala politik kepartian melampau itu sekaligus menyeru supaya pengundi ‘mengajar’ Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Politik apakah ini? Parti ini perlu diajar pada PRU 14,” tegas Hazmi lagi.

Hazmi sebelum ini merupakan orang kuat PAS dan juga merupakan seorang blogger untuk parti Islam berkenaan. Namun selepas kematian Tuan Guru Nik Aziz, beliau kini mengikut Husam Musa untuk menyertai PAN di Kelantan.

Parti PAN sebelum ini menyampaikan sumbangan bantuan kepada pelajar di sebuah sekolah menengah agama di Rantau Panjang di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK) pada 15 Januari lalu selepas kawasan itu terputus hubungan ketika banjir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *