PAN Tuduh PAS Jadi Punca Pakatan Berpecah

12/1/2017- Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pernah mendakwa sikap Tun Dr. Mahathir yang tidak pernah berubah menyukarkan kerjasama pakatan pembangkang.

Malah Mohd Amar turut mendakwa bahawa pakatan pembangkang akan menghadapi kesukaran jika terus bekerjasama dengan bekas perdana menteri itu.

Namun berbeza pula dengan dakwaan Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Che Ibrahim Mohamed apabila menuduh PAS sebenarnya menjadi punca kegagalan pakatan pembangkang untuk bersatu dalam Pakatan Harapan, bukannya disebabkan oleh Tun Dr. Mahathir.

Che Ibrahim berkata, PAS tidak boleh selama-lamanya menyalahkan pihak lain kerana kegagalan pakatan pembangkang. Setakat ini, hanya PAS menjadi masalah dan penghalang kepada pakatan pembangkang bersatu.

“Parti lain seperti DAP, PKR dan Amanah telah terima Pengerusi Bersatu itu sebagai antara penggerak pakatan pembangkang,” katanya yang dipetik melalui Sinar Harian.

Selain itu, Naib Pengerusi Amanah Kelantan itu turut mendakwa bahawa PAS mahu parti pembangkang lain berada bawah telunjuk mereka dan jadikan sebagai ketua.

“Sebab itu Pas hanya selesa bila berada dalam blok ketiga bersama parti-parti lebih kerdil seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa).

“Pas tidak layak bercakap soal pakatan pembangkang dan parti lain terutama Bersatu dan PKR,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua situasi itu adalah berbeza dan setiap pihak mesti menggunakan neraca pertimbangan yang berbeza dalam meniai perkara tersebut.

Tambah beliau lagi, Pakatan Harapan tidak ada masalah berhadapan Barisan Nasional (BN) jika semua parti bergabung dalamnya nekad melupakan PAS.

“Selagi PKR atau Bersatu menaruh harapan Pas akan bersama pembangkang lain sedangkan Pas nekad tidak bersama DAP dan Amanah, selagi itulah Pakatan Harapan dilihat tidak kemas dan bermasalah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *