PAN tuduh PAS tidak konsisten perjuangkan RUU 355

16/1/2017– Naib Pengerusi AMANAH Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed mendakwa Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed sebenarnya masih keliru dengan RUU 355 dan isi kandungannya.

Malah beliau turut mendakwa PAS tidak konsisten dengan usulnya, dibaiki berkali kali, sangat gopoh dan tidak diperhalusi serius.

Menurut Naib Pengerusi AMANAH Kelantan itu, PAS kini berada dalam ‘kepanasan’ dengan isu RUU355 yang dicanang kepada rakyat tetapi semakin nampak permainan politik parti itu yang cuba menggunakan kenyataan agama untuk mengaburi mata rakyat.

Sebelum ini, Mahfodz pernah menyifatkan AMANAH sebagai ‘cacing kepanasan’ berikutan gesaan mereka yang meminta PAS membahaskan RUU355 di Parlimen.

Mahfodz merujuk sikap AMANAH yang sebelum ini kerap mengkritik usaha Pas untuk membawa cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, selain kemudiannya tampil dengan RUU alternatif yang didakwa ‘lebih baik’ daripada apa yang dibawa Pas.

Mengulas lanjut, Che Ibrahim pula menyifatkan PAS seperti “cacing kepanasan” apabila parti itu sendiri sudah dua kali membaiki usulnya dan dua kali juga ianya ditangguhkan sebelum ianya dibahaskan di Parlimen.

Kali pertama katanya, PAS menambah perkataan “selain hukuman mati” sebagai tambahan kepada cadangan memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman mengikut Undang Undang Syariah.

Kali kedua, Pas meminda keseluruhan usulnya dengan menggantikan usul asal (menjatuhkan hukuman mengikut undang undang Islam selain hukuman mati) kepada satu usul baharu memperuntukkan kuasa hukuman sebat 100 kali, penjara tidak melebihi 30 tahun dan denda tidak melebihi RM100,000.

Tambah beliau lagi, pindaan-pindaan yang dibuat ke atas RUU 355 sebelum ianya dibentang dan dibahaskan dalam Parlimen menggambarkan parti itu tidak konsisten dengan cadangannya dan terlalu gopoh dalam tindakan mereka.

Oleh itu, beliau merasakan notis usul dalam bentuk RUU355 bagi meminda Akta 355 yang dikemukan oleh PAS perlu dibahaskan kerana ianya dikatakan melibatkan soal keyakinan masyarakat kepada sistem Mahkamah Syariah yang sedia ada.

Menurut Che Ibrahim, umum mengetahui 95 peratus kesalahan yang dibicarakan di Mahkamah Syariah adalah berkaitan kesalahan dalam kekeluargaan Islam. Tetapi beliau hairan apakah kesalahan yang hendak dikenakan hukuman sehingga penjara sampai 30 tahun atau denda sehingga RM100,000?

Oleh demikian, Che Ibrahim merasakan PAS sepatutnya menjelaskan lebih terperinci kepada masyarakat mengenai kesalahan yang hendak dikenakan hukuman sehinga penjara 30 tahun atau denda RM100,000 itu.

Namun bagi beliau, Himpunan Raksasa 355 yang bakal diadakan pada 18 Februari depan bukanlah forum sesuai untuk memberi penjelasan tentang kekeliruan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *