Parti Bersatu import orang luar jadi ahli di Parlimen Bagan

09/01/2017 – Dalam satu laporan media, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mengakui menerima 200 keahlian dari ahli UMNO di Parlimen Bagan semasa satu majlis penyerahan borang keahlian semalam.

Malangnya, hasil maklum balas dari Ketua UMNO Bahagian Bagan, Datuk Shaik Hussein Mydin menafikan perkara tersebut kerana menurut beliau, kesemua yang datang pada majlis berkenaan adalah rata-rata orang luar.

Selain dari bekas ahli-ahli PKR di Permatang Pauh, wakil dari Persatuan Ibu Tunggal Permatang Pauh juga dikesan menyerahkan borang keahlian Bersatu pada majlis berkenaan. Turut dimaklumkan ramai juga ‘ahli import’ dari Jelutong berada di situ.

Shaikh Hussein juga hairan apabila pihak Bersatu membawa orang-orang luar terutamanya dari Permatang Pauh dan Seberang Jaya ke majlis terbabit dan mengaku mereka itu semua adalah ahli UMNO Bahagian Bagan.

Beliau turut mencabar pihak Bersatu menunjukkan bukti bahawa 200 orang yang menyerahkan borang keahlian tersebut adalah merupakan ahli UMNO di bahagian berkenaan jika benar mereka itu sudah keluar dari parti.

Dalam majlis tersebut, wakil dari parti pimpinan Mahathir itu juga mendakwa sudah sedia untuk menawan negeri Pulau Pinang daripada UMNO dengan penyertaan hampir 10 ribu ahli Bersatu dalam masa terdekat.

Walaupun baru 4 bulan ditubuhkan, Bersatu mendakwa mereka kini sudah mengumpul 100 ribu keahlian dari seluruh negara yang kebanyakkannya dikatakan ahli UMNO yang sudah hilang kepercayaan pada kepimpinan parti.

Namun dakwaan parti Mahathir tersebut masih diragui kerana tiada sebarang senarai atau statistik rasmi dikeluarkan mengenai jumlah keahlian parti berkenaan. Mahathir juga sebelum ini dikaitkan dengan dakwaan menipu tandatangan rakyat Malaysia melalui petisyen kepada YDP Agong.

Didalam usaha untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan DS Najib Razak melalui institusi Diraja, Mahathir bersama wakil-wakil pembangkang gagal mendapatkan sejuta tandatangan rakyat Malaysia yang diperlukan. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *