PAS bersedia untuk rampas kawasan DAP di PRU14

KOTA BHARU – Pas tidak menolak kemungkinan bertanding di kawasan DAP dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) nanti, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, pihak tertinggi parti masih belum membuat keputusan terhadap perkara tersebut biar­pun ada beberapa kajian bebas termasuk dari dalam Pas sendiri yang mahu parti itu bertanding di kawasan bekas sekutu mereka itu.

Dalam masa sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu me­negaskan, sehingga kini, Pas kekal dengan keputu­san­nya untuk bertanding di 73 kerusi seperti yang dilakukan dalam PRU-13 biarpun ada pihak seperti PAN dan PPBM mahu seperti pengagihan kawasan dilakukan semula oleh parti-parti pembangkang.

“Saya akui Pas ada terima hasil kajian dari beberapa pihak yang mengatakan apa salahnya jika sesetengah tempat yang agak strategik dan biasa ditandingi DAP kita bertanding. Ini kerana biasanya DAP akan bertembung dengan parti bukan Melayu ter­utama MCA dan Gerakan.

“Bagaimanapun, saya tidak boleh memberikan ulasan lanjut berhubung kajian berkenaan. Saya juga tidak diberikan maklumat yang jelas berhubung kawasan itu, apa yang boleh dimaklumkan ialah kawasan tersebut adalah di Semenanjung.

“Kita perlu ingat ada kerusi DAP dalam PRU-13 lalu merupakan kawasan majoriti orang Melayu dan saya tidak perlu sebut berapa banyak kawasan itu. Buat masa ini, kita perlukan kajian menyeluruh,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *