Pejabat Ketua Menteri Sarawak Nafi Amar Douglas Uggah Dilantik Sebagai TKM

12/1/2017- Berhubung dengan penyebaran maklumat menerusi aplikasi WhatsApp bahawa Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilantik sebagai Pemangku Ketua Menteri Sarawak didapati tidak benar.

Jurucakap Jabatan Ketua Menteri berkata, bedasarkan pemeriksaan beliau dengan Astana Negeri, maklumat itu didapati tidak benar.

“Maklumat itu tidak benar. Saya sudah periksa dengan pegawai Astana Negeri,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Difahamkan, maklumat itu telah menjadi tular menerusi aplikasi WhatsApp berikutan kematian Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, 72, di Pusat Jantung Kota Samarahan, pada 1.20 tengah hari semalam akibat komplikasi jantung.

Berhubung penyebaran maklumat palsu itu juga, Pejabat Yang Dipertua Negeri Sarawak dalam satu kenyataan semalam turut menafikan maklumat mengenai pelantikan tersebut serta pergerakan upacara pengebumian Adenan hari ini.

“Pejabat Yang Dipertua Negeri Sarawak (Astana Negeri) menafikan pihaknya melantik mana-mana kakitangan mewakili Pejabat Astana Negeri untuk mengeluarkan kenyataan berhubung pelantikan pemangku Ketua Menteri Sarawak, serta pergerakan upacara pengebumian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem,” kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu lagi, maklumat yang disebar di media sosial sejak petang semalam adalah perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja menggunakan nama pejabat berkenaan untuk meraih perhatian.

“Untuk pengetahuan orang awam, Pejabat Yang di-Pertua Negeri adalah organisasi yang tidak terbabit dalam pentadbiran kerajaan negeri dan politik negeri Sarawak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *