Pemuda PAN mahu pasangan bermotorsikal bukan mahram dikenakan tindakan.

20/01/2017 – Pemuda Amanah Terengganu menyokong usaha Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menahan pasangan yang menunggang dan membonceng motosikal dengan bukan mahram di negeri ini.

Timbalan Ketuanya, Furqan Amin yang juga Pengarah Biro Penyelidikan Syariah Pemuda Amanah Terengganu berkata, tindakan tersebut adalah salah satu langkah untuk mencegah gejala sosial di negeri Terengganu yang berpunca daripada hubungan bebas tanpa sekatan.

“Pemuda Amanah Terengganu percaya, tindakan yang dilaksanakan JHEAT adalah bertujuan untuk mengekang permasalahan sosial yang makin membarah dalam kalangan orang muda dan remaja di negeri Terengganu.

“Permasalahan ini pastinya akan menjejaskan kehidupan remaja itu sendiri, merendahkan martabat diri dan keluarga serta memberi gambaran yang buruk kepada masyarakat dan negeri Terengganu sekiranya tidak dibendung,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Dalam operasi yang dilaksanakan JHEAT, pasangan remaja yang ditahan dipanggil menghadiri sesi kaunseling dan diberi amaran.

Sekiranya pasangan remaja terbabit ingkar dan mengulangi kesalahan sama, tangkapan akan dibuat.

Furqan memetik ayat 77 surah al-Qasas yang menyebut: “Dan janganlah kamu melakukan kerosakan di muka bumi, sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.”

Menurut Furqan, di antara ‘kerosakan’ yang ketara dalam kalangan anak muda sekarang adalah penyalahgunaan dadah dan seks bebas.

“Ini terbukti dengan meningkatnya statistik kelahiran anak luar nikah dari setahun ke setahun. Antara punca bertambahnya kelahiran anak luar nikah adalah disebabkan oleh pergaulan bebas hingga melupakan hukum agama dan tatasusila,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan JHEAT itu sebagai wajar bagi menyekat pelakuan sumbang secara terbuka.

“Kita tidak mahu bersifat terlalu ‘bebas’ sehinggakan kerosakan moral yang kronik berlaku dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *