Pencuri di Kelantan Pura-Pura Mati Elak Dibelasah

10/01/2017 Pasir Mas – Akibat ketakutan dan terperangkap, seorang lelaki sanggup untuk berpura-pura mati selepas dicekup oleh penduduk kampung ketika sibuk mencuri biri-biri di Kampung hujung Padang Embung di sini.

Kejadian yang berlaku jam 8.30 malam, suspek yang berusia 30-an itu telah berjaya ditangkap ketika sedang bersembunyi di sebalik rimbunan pohon salak bersama motosikal miliknya yang diletakkan tidak jauh dari kandang biri-biri itu.

Pemilik haiwan berkenaan, Ibrahim Salleh, 60 berkata kejadian itu diberitahu oleh anaknya yang ternampak kelibat suspek di kandang biri-biri mereka.

Mengambil keputusan untuk menangkap suspek, Ibrahim telah meminta bantu jiran-jiran kampung sebelum menyerbu kandang biri-birinya itu dan berjaya menangkap suspek.

“Sebaik sahaja melihat kelibat suspek yang bersembunyi di balik rimbunan pokok salak, saya dan Faiz terus bergegas keluar untuk menangkap lelaki berkenaan.

“Kami turut meminta bantuan jiran untuk menangkap suspek tersebut,” katanya.

Akibat takut dipukul teruk oleh penduduk setelah ditangkap, suspek telah bertindak nekad dengan berpura-pura tidak sedarkan diri seperti ‘mati’.

Namun begitu, cubaan lelaki itu untuk memperdayakan penduduk kampung tidak berjaya apabila penduduk kampung menyoal suspek dan mengaku mahu mencuri biri-biri berkenaan.

Sementara itu, tular di applikasi WhatsApp penduduk di sana apabila gambar suspek berpura-pura mati itu didakwa telah meninggalkan dunia akibat ditanduk biri-biri.

Namun, Ibrahim menafikan dakwaan itu sebaliknya suspek bukan mati ditanduk biri-biri tetapi berpura-pura mati apabila ditangkap mencuri. –UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *