Pengedar Dadah ditangkap ketika cuba rasuah Polis.

ALOR SETAR – Sifat jujur seorang pegawai polis berpangkat inspektor dan lima anggota trafik yang enggan menerima rasuah mem­bawa kepada penahanan du­a lelaki dipercayai pengedar­ dadah di negeri ini menerusi pene­muan lebih 2.7 kilogram da­dah jenis heroin, syabu dan can­du serta 1,500 biji pil kuda ber­nilai kira-kira RM65,000 kelmarin.

Ketua Polis negeri, Datuk Asri Yusoff berkata, tangkapan kira-kira pukul 5.30 petang itu dilakukan ketika anggota dan pegawai polis berkenaan mengadakan se­katan jalan raya berhampiran su­sur keluar Plaza Tol Alor Setar Selatan.

“Ketika sekatan itu, pasukan polis berkenaan telah mengesan sebuah kereta Honda Civic berwarna kelabu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan. Berikutan itu, mereka ditahan menyebabkan dua individu da­lam kereta berkenaan cuba menawarkan rasuah wang tunai RM50,000.

“Namun, tawaran tersebut ditolak. Malah pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan 2.7 kilogram heroin, 25 gram syabu, 46 gram candu, 1,500 biji pil kuda serta dua pucuk pistol semi auto bersama tiga kelopak dan 73 butir peluru,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nashir Ya dan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin.

Mengulas lanjut, Asri berkata, kesemua barang terlarang itu disimpan dalam sebuah beg pakaian berwarna biru dalam kereta tersebut.

“Siasatan kami mendapati dadah itu dibawa dari sebuah negeri di selatan tanah air. Kedua-dua pengedar ini dilaporkan sedang meneroka pasaran baharu di sekitar Sungai Petani.

“Kereta tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dilaporkan hilang di Subang Jaya, Selangor pada 2012. Kedua-dua individu berusia 43 dan 47 tahun yang ditahan turut didapati positif dadah jenis heroin serta mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah dan jenayah,” ujarnya.

Menurutnya, dua individu berkenaan yang berasal dari Alor Setar dan Sekinchan, Selangor akan direman sehingga 14 Januari depan.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 8 Akta Senjata Api Penalti Lebih Berat 1971, Seksyen 8 (A) Akta Senjata 1960, Seksyen 39A(1) ADB 1952, Seksyen 39A(2) ADB 1952, Seksyen 10 ADB 1952 serta Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009,” katanya. – Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *