Penyokong Pembangkang Turut Terima Haji Tajaan 1MDB

19/1/2017– Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mendedahkan ramai dikalangan penyokong pembangkang juga menerima tawaran untuk menunaikan Haji melalui tajaan 1MDB.

Kata Raja Nong Chik di peringkat bahagiannya sendiri, lebih 20 nama dicalonkan untuk ke Mekah melalui program berkenaan sejak 2011.

Menurut bekas menteri itu, nama yang diberikan itu turut meliputi penyokong parti pembangkang.

“Saya boleh sahkan (yang penyokong pembangkang mengerjakan haji ditaja 1MDB). Kita tak tetapkan mereka sokong BN atau tidak. Terpulang pada dia.

“Saya sebagai pemimpin masyarakat mencadangkan nama-nama berkenaan mengikut kriteria yayasan itu. Majoriti nama yang kami cadangkan diterima, kecuali satu dua yang tak diterima,” katanya.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa orang yang melaksanakan ibadah haji menggunakan wang 1MDB tidak akan mendapat haji yang mabrur.

Menurut Mahathir, haji yang tidak mabrur itu berpunca daripada wang haram yang didakwanya dicuri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Najib boleh bagi, kenapa dia boleh bagi kerana dia curi duit, duit curi halal ke tidak. Kalau dia bagi duit curi, kita buat kerja haji, bagus ke tidak?

“Itulah yang dia buat, tiap-tiap tahun nak hantar 1,000 orang buat kerja haji dengan duit curi. Saya ingat bukan haji mabrur la tu, haji kurang mabrur,” katanya ketika berucap dalam program Parti Pribumi Bersatu (BERSATU).

Dalam masa sama, Raja Nong Chik juga berharap penyokong parti pembangkang yang dihantar mengerjakan haji sebelum ini tidak lagi melawan kerajaan.

“Kita harap apabila kita hantar, mereka tak membangkang lagi. Tapi itu kita tak tahulah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau dengan nada berseloroh berkata, mereka yang menyertai ibadah haji tajaan 1MDB ‘sudah banyak berubah’.

Sesetengah mereka, katanya, memang sudah lama mendaftar di Lembaga Tabung Haji dan menunggu giliran ke Mekah.

“Saya rasa (Mahathir) tak patut cakap macam tu, kerana mereka yang pergi dah banyak berubah. Kalau dulu boleh katakan dari segi perangai dah banyak berubah, jadi itu sesuatu yang positif,” katanya.

Sejak program khas berkenaan diperkenalkan pada 2011, sebanyak 4,611 imam, bilal dan pemimpin masyarakat telah mengerjakan haji menerusi tanggungjawab sosial korporat 1MDB itu.

Pada tahun ini juga, program tajaan haji itu akan diperluaskan kepada penghulu atau penggawa, pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan wakil pejabat mufti di seluruh negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *