Presiden Majlis Belia Kedah didesak letak jawatan kerana terpengaruh dengan Mahathir.

12/01/2017 – Semalam, berlangsung satu sidang media bersama wakil-wakil dari Majlis Belia Daerah serta Persatuan – Persatuan Belia yang berada di bawah naungan Majlis Belia Negeri Kedah. Sidang media tersebut diadakan bagi memperjelaskan desakan mereka berkenaan isu Aizad Roslan, iaitu Presiden Majlis Belia Negeri Kedah.

Menurut Pengerusi Gerakan Belia 4B (M) Negeri Kedah, Mohamad Noor Azam Ismail… Dia bersama-sama dengan ahli Gerakan Belia 4B Negeri Kedah sebulat suara mendesak supaya Aizad meletak jawatan. Hal ini kerana mereka dikatakan telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinannya selaku Presiden Majlis Belia Negeri Kedah.

Bukan itu sahaja, Nor Azam yang juga merupakan Pengerusi Majlis Belia Daerah Pendang dan Naib Presiden 1 Majlis Belia Negeri Kedah itu berkata, Aizad tidak lagi sebulu dan searus dengan aspirasi Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan. Malah Aizad kini dikatakan sedang berjinak dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Akibat itu, Aizad diminta supaya melepaskan jawatannya selaku Presiden Majlis Belia Negeri Kedah secara terhormat. Desakan yang dibuat tersebut turut mendapat sokongan daripada Pengerusi Majlis Belia FELDA Negeri Kedah merangkap Naib Presiden Majlis Belia Negeri Kedah Amir Murshidi dan ramai lagi.

Mereka khuatir sekiranya Aizad tidak mampu lagi sealiran dengan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, berkemungkinan besar akan berlaku kesulitan dan konflik dalaman sepanjang perjuangan perjalanan Majlis Belia Negeri. Perkara ini bakal berlaku kerana selama ini mereka bergantung kepada dana dari Kerajaan.

Bukan itu sahaja, Aizad pastinya akan menghadapi masalah untuk mengemudikan Majlis Belia Negeri Kedah setelah hilang sokongan daripada majoriti Exco – Exco Majlis Belia Negeri Kedah dan Persatuan – Persatuan Belia yang bernaung di bawah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Tindakan Aizad yang beralih angin kepada parti cap bunga tersebut ternyata mengecewakan ramai pihak termasuklah belia dan beliawanis di negeri Kedah. Disebabkan itulah mereka mendesak agar Aizad Roslan meletak jawatan sebagai Presdien Majlis Belia Negeri Kedah dengan cara terhormat demi kepentingan belia di negeri Kedah.-TiraGomez/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *