Rakyat akan hentikan pembohongan DAP di Pulau Pinang pada PRU14.

12/01/2017 – Rakyat Pulau Pinang semakin muak dengan pembohongan demi pembohongan oleh DAP dan Lim Guan Eng. Kontroversi tambakan laut, terowong dasar laut, isu skandal rasuah pembelian rumah dan juga isu penyelewengan kuasa Ketua Menteri akan menyebabkan DAP hilang sokongan pada PRU 14 nanti.

Walaupun sudah 2 penggal DAP memerintah negeri ini, rakyat makin tertekan dengan ketidak telusan kerajaan negeri didalam pelbagai isu-isu setempat. Isu-isu besar yang dikaitkan dengan kerajaan DAP Pulau Pinang tidak diberikan penjelasan secukupnya kepada rakyat.

Jika ada pun penjelasan yang dibuat, ianya lebih terarah pada menunding jari kepada pihak lain terutamanya kerajaan persekutuan. Rakyat Pulau Pinang bukannya mahukan alasan, tetapi rakyat lebih utamakan pencerahan tentang apa yang berlaku.

Kes skandal banglo, isu Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis, pembinaan terowong dasar laut serta pembinaan tiga lebuh raya yang masih menjadi misteri didalam minda rakyat, mungkin dianggap sebagai perkara remeh oleh kerajaan DAP.

Di sebalik menyelesaikan masalah berbangkit, DAP hanya menumpukan tentang mengaut dana pilihanraya dan juga mengatur strategi bagi menguatkan Pakatan Harapan untuk menawan Putrajaya. Mereka abaikan rakyat Pulau Pinang yang sengsara dengan segala macam bencana hasil kerakusan DAP menjajah alam sekitar di Pulau Pinang.

Rasanya inilah masa yang terbaik untuk Barisan Nasional memperkemaskan kekuatan mereka bagi menawan semula Pulau Pinang dari Pakatan khususnya DAP di Pilihanraya Umum akan datang. Jentera pilihan raya negeri perlu difokuskan kepada memenuhi agenda pembangunan tempatan yang diperlukan rakyat.

Rakyat kini semakin peka dan celik tentang kebajikan serta kemampuan kerajaan negeri yang bakal dipilih untuk menerajui negeri. Pentadbiran dua penggal oleh DAP yang penuh dengan segala macam skandal dirasakan sudah cukup untuk rakyat menilai dan memilih parti baru yang bakal memerintah.

Percayalah bahawa rakyat Pulau Pinang sedang menilai polisi pentadbiran serta agenda DAP untuk dijadikan ukuran semasa PRU14 nanti. Rakyat Pulau Pinang bukannya bodoh untuk menyokong lagi DAP yang gagal dalam memenuhi janji PRU-13 dahulu. Rakyat mahukan perubahan, bukannya hanya janji kosong yang tak mampu ditunaikan! – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *