Rakyat usah mudah terpedaya hasutan pembangkang.. – DS Najib

PEKAN – Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi mengingatkan masyarakat untuk tidak mudah terpedaya dengan sandiwara politik segelintir pihak yang menuduh kerajaan menggadai kedaulatan negara apabila menarik pelaburan daripada China.

Perdana Menteri berkata pelaburan daripada negara itu adalah pelaburan yang sama dilakukan oleh negara-negara lain dengan mengambil kira faktor dunia yang saling berhubung kait dan fenomena globalisasi.

“Secara asasnya tiada beza antara pelaburan dari China dengan pelaburan dari Eropah, Jepun, Korea atau sebagainya…kita boleh terima pelaburan daripada (negara) orang putih, tapi apabila dari China, kata kita nak jual kedaulatan.

“Ini tidak adil kerana pelaburan dari China memberi manfaat kepada negara termasuk kita di Pahang, bukan hanya pelaburan besar seperti ECRL (pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur) tetapi harga kelapa sawit juga meningkat, sekali gus menguntungkan pekebun kecil dan peneroka,” katanya.

Najib, yang juga Anggota Parlimen Pekan, berkata demikian pada Program Sepetang Bersama Masyarakat Cina Parlimen Pekan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pekan di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob.

Dalam lawatan Najib ke China, November lepas, sebanyak 14 memorandum persefahaman (MoU) bernilai kira-kira RM144 bilion telah ditandatangani, yang merupakan jumlah terbesar dalam sejarah hubungan Malaysia dengan negara asing.

Dalam perkembangan lain, beliau memberi jaminan bahawa tiada kaum akan dipinggirkan dalam pembangunan negara, yang menjadi dasar kerajaan dan tanggungjawab beliau sebagai perdana menteri.

“Oleh itu, kita perlu tunjukkan keprihatinan dengan mengadakan pelbagai program selain dasar yang merangkumi semua pihak. Mesti turun padang berjumpa, berjabat tangan dan beri perhatian kepada setiap permasalahan komuniti,” katanya.

Dalam ucapannya, perdana menteri juga mengakui SJKC Pekan dekat di hatinya kerana keunikan sekolah itu yang mempunyai 60 peratus pelajar Melayu, diikuti Cina (29 peratus), Orang Asli (15 peratus) dan empat peratus pelajar keturunan kaum India,

“Ini menjadikan sekolah ini sebagai cerminan kepada komposisi masyarakat kita,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan sumbangan ang pau kepada 366 warga tua dan limau mandarin kepada masyarakat Cina yang akan menyambut Tahun Baharu Cina pada 28 Jan ini.

Sementara itu, ketika berucap di majlis penutup kursus praperkahwinan yang disertai kira-kira 500 peserta anjuran Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pekan, Najib melahirkan kebimbangan tentang kes keruntuhan insitusi kekeluargaan dan perkahwinan yang kian meningkat pada masa kini.

Beliau berkata keadaan itu menyebabkan segelintir masyarakat mudah terpengaruh dengan anasir negatif seperti militan Daesh.

“Ada orang terjebak dengan ?ideologi berbeza kerana asas keluarga mereka yang rapuh, mereka tidak bahagia dan cuba alih perhatian kepada mencari kebebasan di luar termasuk menjadi pejuang di bawah kumpulan Daesh sehingga ada yang menjadi pengebom berani mati.

“Walaupun ibu bapa…isteri, merayu-rayu, mereka ketepikan sahaja. Mereka nilai sendiri pemahaman Islam yang hakikatnya ia bertentangan dengan nilai Islam sebenar,” katanya.

Justeru, katanya, kerajaan dan UMNO khususnya akan terus melakukan usaha yang terbaik untuk menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara dengan turut mengutamakan pembangunan insaniah dan bukan fizikal semata-mata.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *