Remaja perempuan curi RM143,368 dari warga emas

Kota Bharu: Seorang jurujual dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap tuduhan menyalahgunakan kad pengeluaran wang automatik (ATM) milik seorang suri rumah membabitkan pengeluaran lebih RM143,368.90 pada Mei tahun lalu.

Tertuduh, Rosmalini Rosli, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nik Habri Muhammad.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahgunakan kad ATM Bank Islam milik Bidah Abdul Rahman, 67, untuk membuat transaksi perpindahan wang RM143,368.90 daripada akaun Tabung Haji mangsa ke akaun simpanan Bank Islam sebelum membuat pengeluaran.

Kesalahan dilakukan di Bank Islam Jalan Sultan Ibrahim, di sini pada jam 4 petang, 17 Mei 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *