Sami Buddha halang sambutan Maulidur Rasul di Myanmar.

Myanmar – Kumpulan nasionalis Buddha bertindak menghalang sambutan Maulidur Rasul kelmarin, kata beberapa saksi dan pe­nganjur ketika ketegangan agama memuncak berhubung kempen ketenteraan berdarah terhadap etnik Islam Rohingya di Negeri Rakhine.

Berpuluh-puluh orang yang diketuai beberapa sami Buddha berarak ke bangunan YMCA di Yangon untuk menutup majlis yang diadakan bagi meraikan kelahiran Nabi Muhammad.

“Kami mengadakan sambutan ini sepanjang hidup saya. Perbuatan mereka adalah serangan ke atas kebebasan beragama,” kata Setiausaha Pertubuhan Ulama Islam, Kyaw Nyein.

“Sami-sami ini cuba menghalang majlis berkenaan tanpa menyatakan apa kesalahan kami. Kenapa pihak berkuasa tidak bertindak?,” tambahnya.

Menurut beberapa saksi, sami-sami itu menceroboh sambutan tersebut dan menuntut supaya majlis itu dihentikan.

Pihak polis yang tiba tidak lama kemudian tidak bertindak untuk menghalang kumpulan tersebut.

Penganjur majlis itu, Tin Maung Win berkata, golongan nasionalis Buddha cuba menghasut kebencian terhadap kerajaan yang diterajui parti NLD pimpinan Aung San Suu Kyi.

Katanya, pelampau-pelampau agama menyokong parti USDP yang disokong tentera dan melihat kerajaan baharu sebagai terlalu berlembut dengan orang Islam. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *