Wanita nekad lawan peragut bersenjatakan cota di Nibong Tebal

22/01/2017 – Seorang wanita bertindak berani apabila melawan serta menangkap seorang peragut di hadapan sebuah tadika di Taman Seri Emas, di Nibong Tebal semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, wanita berusia 47 tahun berkenaan baru sampai di tadika milik anaknya itu.

“Wanita itu keluar untuk pergi membeli sarapan di kedai berhampiran sebelum didatangi seorang lelaki dari arah bertentangan dan cuba mengambil beg tangan mangsa.

“Lelaki itu menyerang mangsa dengan cota dan wanita berkenaan melawan balik serta bertindak mengejar suspek dan merampas cota tersebut,” katanya di Nibong Tebal hari ini.

Beliau berkata jiran di sebelah tadika (rumah teres) yang terdengar bunyi
bising keluar dari rumahnya dan membantu wanita itu menangkap suspek yang dipercayai turut terlibat beberapa kes samun dan ragut di SPS.

Shafee berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan
berkenaan, suspek dipercayai mengekori mangsa dengan menunggang motosikal sebelum cuba meragutnya.

Beliau berkata mangsa yang cedera di kepala kerana dipukul dengan cota oleh suspek dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau berkata suspek berusia 47 tahun dan positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau itu kini direman bagi membantu siasatan.

Sementara itu di George Town, jurucakap polis berkata Pasukan Taktikal Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (Stagg) Bukit Aman menahan 25 wanita warga asing yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Jalan Burma.

Katanya dalam serbuan pada 10.30 malam itu, polis menahan 16 wanita Vietnam serta sembilan warga China dan hasil pemeriksaan mendapati mereka menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja tanpa permit. -Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *