Waris penumpang rayu jangan hentikan pencarian MH370

SYDNEY – Waris penumpang Malaysia Airlines MH370 merayu supaya mempertimbangkan untuk meneruskan usaha pencarian pesawat hilang itu pada mesyuarat yang diadakan antara Menteri Pengangkutan Australia dan Malaysia di Perth.

Kumpulan waris MH370 yang dikenali sebagai Voice370 dalam satu kenyataan, berharap supaya kerajaan Malaysia mengambil peluang untuk rundingan segera dan mempertimbangkan semula keputusan penggantungan pencarian pesawat berkenaan.

“Surat rayuan peribadi dari kalangan anggota keluarga penumpang akan dihantar kepada Menteri Pengangkutan Malaysia secara peribadi ketika lawatan beliau ke Perth, Australia,” kata kenyataan itu.

Selasa lalu, Australia, Malaysia dan China memutuskan untuk menggantung pencarian MH370 di Lautan Hindi setelah hampir tiga tahun dijalankan sejak ia dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014.

Keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada kesan pesawat berkenaan dijumpai dalam zon carian pada 120,000 kilometer persegi.

Menteri Pengangkutan Australia, Darren Chester dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memahami perasaan kecewa yang dirasai oleh anggota keluarga penumpang MH370.

“Keputusan tiga pihak untuk menggantung carian selepas tiada sebarang bukti baru yang boleh dipercayai ditemui,” katanya.

Katanya, pertemuan dengan rakan sejawatnya, Datuk Seri Liow Tiong Lai adalah tidak rasmi.

Kedua-dua menteri itu akan bertemu dengan anak-anak kapal Fugro Equator- kapal terakhir yang meninggalkan kawasan carian di luar pantai barat Australia – di Perth pada Isnin.- Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *