10 pengganas ditahan di Madinah dan Jeddah

JEDDAH – Arab Saudi menahan lebih daripada 10 suspek pengganas dalam serbuan yang dilakukan secara serentak di Jeddah dan Madinah pagi semalam, lapor berita dalam talian Sabq.

Beberapa senjata, termasuk senapang dan pisau, ditemui dan dirampas daripada mereka, lapor Saudi Gazette.

Pihak keselamatan melakukan serbuan di beberapa tempat di kedua-dua bandar itu sebagai sebahagian daripada operasi membenteras serangan pengganas, kata sumber yang dipetik Sabq.

Akhbar Al-Riyadh melaporkan anggota tentera yang dibantu tentera udara berbalas tembakan dengan anggota Daesh di daerah Al-Mahameed, tenggara Jeddah.

Pengganas itu dikesan di daerah berhampiran Al-Harazat, lokasi operasi sama yang dilakukan dua minggu lalu.

Anggota keselamatan kecemasan mengepung kawasan tersebut sebelum memulakan operasi dan megambil langkah memastikan keselamatan penduduk setempat terjamin.

Di Madinah, operasi dilakukan di daerah Al-Rabwa.

Dalam operasi yang dilakukan di daerah Al-Naseem, seorang warga Arab Saudi, Hussam Bin Saleh Bin Samran Al-Juhani dan seorang wanita warga Pakistan, Fatimah Ramzan Balochi Ali Murad ditahan.

Pihak berkuasa keselamatan merampas mesingan dan beg berisi bahan letupan.

Daesh telah melakukan beberapa siri serangan bom dan serangan di Arab Saudi sejak pertengahan 2014.

Pada tahun lalu, seorang pengebom berani mati terbunuh dan dua orang cedera dalam letupan berhampiran konsulat Amerika Syarikat di Jeddah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *