20 Kes Ketagihan Pornografi sebulan dicatatkan di Malaysia.

19/02/2017 – Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) berkata peningkatan jumlah orang yang datang membina bantuan pemulihan bagi pihak keluarga mereka yang obsesi dengan pornografi, amat membimbangkan.

Naib Presiden Abim Fadhlina Sidek berkata organisasi itu menerima purata 20 kes setiap bulan berhubung individu yang menghabiskan terlalu banyak masa menonton gambar dan filem pornografi.

“Kebanyakan yang bermasalah seperti itu ialah lelaki. Biasanya, isteri mereka yang akan datang minta bantuan kami.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah ada juga kes membabitkan remaja dan kanak-kanak. Kami pernah bantu seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun, itu kes membabitkan individu paling muda.

“Kes membabitkan individu paling tua ialah seorang datuk yang berusia lebih 50 tahun,” katanya.
Fadhlina berkata kebanyakan kes datangnya dari Pantai Timur.

Beliau mentakrifkan “obsesi” itu sebagai penggunaan sekurang-kurangnya 15 minit sehari menonton gambar lucah.

Katanya, ketaksuban terhadap pornografi boleh merosakkan individu dan keluarga mereka kerana ia cenderung menyebabkan masalah dalam perhubungan.

“Bila kami ada kes, kami akan bantu individu itu menerusi kaunseling. Di Abim, kami ada pakar psikiatri, pakar perubatan dan pemimpin rohani untuk membimbing mereka,” katanya.

Fadhlina berkata beliau bimbang kerana akses kepada pornografi terlalu mudah diperoleh dan ibu bapa gagal untuk mencegah kanak-kanak memperoleh akses itu.

“Kami ada rumah perlindungan untuk remaja yang hamil, menempatkan purata 15 orang pada satu masa. Bila kami tanya bagaimana mereka belajar mengenai seks, 80% mereka akan kata daripada pornografi.

“Lebih teruk lagi ialah kebanyakan mereka beritahu kami, bahan pornografi itu milik ibu bapa mereka,” katanya.

Fadhlina berkata keadaan itu menunjukkan golongan muda terlalu ingin tahu mengenai seks dan sudah tiba masanya pendidikan seks diperkukuhkan.

“Kita tidak sepatutnya menganggap ia sebagai topik tabu dan mengelaknya. Bila kanak-kanak tidak dapat jawapan, mereka akan beralih ke tepat lain untuk cari jawapan dan ini termasuk pornografi,” katanya.

Fadhlina berkata Abim secara giat menjalankan program pendidikan seks di seluruh negara dan peserta pada awalnya malu tetapi akan jadi lebih menerima dan menunjukkan kesungguhan untuk belajar pada sesi berikutnya.

Program Abim itu termasuk topik mengenai penderaan dan gangguan seksual serta cara menangani isu itu.

Kerajaan giat menyekat laman web pornografi sejak penubuhan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Pada 2015, dilaporkan SKMM menyekat akses kepada lebih 1,000 laman web.

Tahun lalu, kerajaan mengumumkan ia akan bekerjasama dengan aplikasi Telegram untuk mengesan mereka yang menyebarkan bahan lucah menerusi aplikasi itu, terutama pornografi kanak-kanak.

Ia susulan laporan berita mengenai penyebaran ribuan gambar dan video pornografi di kumpulan Telegram rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *