Anak kena penjara 9 bulan selepas pukul ibu sendiri.

SEREMBAN: Seorang penganggur dijatuhkan penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini, selepas mengaku bersalah mencederakan ibunya di kepala dengan membaling cawan kaca dalam kejadian di Mantin, bulan lalu.

Majistret Mohd Zaki Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Afiq Abdullah, 31, dari Kampung Mantin Dalam, dekat sini, selepas tuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh menghadapi tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Siti Bujal, 69, dengan membaling cawan kaca ke bahagian kepala di Kampung Che Lah, Mantin, jam 6.30 petang, 23 Januari lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun, atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua seksaan itu.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Wan Ahmad memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap perbuatan yang dilakukan, manakala tertuduh dalam rayuan memohon supaya dikenakan hukuman ringan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *