Apa Dah Jadi Dengan Pasukan Kelantan??

Kota Bharu – Kelantan terus kempunan untuk mencatatkan kemenangan sulung di laman sendiri apabila diaibkan pasukan Selangor, 0-2, pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, di sini, tadi.

Penyerang import Selangor, Juliano Mineiro Fernandes menjadi wira pasukannya apabila meledakkan dua gol pada minit ke-3 dan 63, membolehkan mereka membawa pulang tiga mata berharga.

Sebelum itu, Selangor mengejutkan kira-kira 2,000 penyokong tuan rumah apabila membuka tirai perlawanan menerusi jaringan importnya,Juliano Mineiro pada minit ke-3 selepas berlaku kelam-kabut di depan pintu gol Kelantan.

Tersentak gol pertama pelawat, anak buah Zahasmi Ismail terus mengatur serangan ke kubu Selangor tetapi sukar membolosi benteng dikawal rapi Ugo Ukah.

Tuan rumah hampir memperolehi gol penyamaan menerusi penyerang mudanya, Muhammad Shahrul Hakim pada minit ke-16 tetapi sepakannya sedikit tersasar.

Bersambung babak separuh masa kedua, Kelantan membawa masuk Mohd Badhri Radzi menggantikan Hasmizan Kamarodin dan permainan tuan rumah tampak lebih tersusun.

Bagaimanapun, Kelantan bertambah derita apabila Juliano Mineiro sekali lagi menghukum kealpaan benteng pertahanan dengan jaringan gol kedua pasukan minit ke-63.

Dua gol Selangor itu terus membuatkan pemain Kelantan semakin tertekan dan sering kehilangan bola termasuk tiada gerakkan menarik dan berbahaya dirancangmereka ke kubu lawan.

Tamat sepenuh masa, Kelantan terpaksa menerima kekalahan ketiga mereka dalam Liga Super tanpa sebarang kemenangan sekali gus meletakkan pasukan itu dalam zon bahaya. – hm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *