AWAS jika anda simpan gambar dan video lucah didalam Handphone.

Kuala Lumpur: Seorang pelayan restoran dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, kerana memiliki gambar dan video lucah dalam telefon bimbitnya di tempat awam.

Hakim Datin M Kunasundary menjatuhkan hukuman itu terhadap Taslinnaim Tasrip, 24, selepas tertuduh mengaku bersalah memiliki telefon bimbit mengandungi gambar dan video lucah di sebuah pusat beli belah di Jalan Tun Sambanthan, di sini, pada 12.05 tengah hari, 5 Januari lalu.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman bermula dari tarikh ditangkap pada 5 Jan lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, polis menahan tertuduh di tempat kejadian selepas menerima laporan tertuduh terbabit dalam kes rogol dan merampas telefon bimbitnya.

Hasil pemeriksaan mendapati ada gambar dan video lucah dalam telefon bimbitnya dan dia juga mengedarkan sebuah video lucah serta sekeping gambar lucah melalui aplikasi Whatsapp kepada pelajar perempuan sebuah kolej berusia 19 tahun.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia menyara keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat mengambil kira kesalahan tertuduh adalah serius selain dia mengambil kesempatan mengedar gambar dan video lucah kepada mangsa.

Pada 10 Januari lalu, lelaki itu mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan merogol mangsa yang sama di sebuah rumah di Brickfields di sini, pada 10 malam, 26 Disember 2016, mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *