Bekas Jurulatih Johor bakal jadi Jurulatih Kebangsaan?

09/02/2017 – Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat bersedia untuk bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) apabila mempunyai perancangan tersendiri untuk skuad Harimau Malaysia.

Semalam laman sosial Facebook Johor Southern Tigers memuat naik gambar Tunku Ismail bersama bekas jurulatih Johor DT Mario Gomez bagi mengucapkan selamat berjaya kepada skuad Harimau Selatan yang turun beraksi menentang kelab Jepun Gamba Osaka bagi aksi play-off Liga Juara-Juara Asia 2017.

Bagaimanapun apa yang menarik perhatian adalah keterangan gambar berkenaan menamakan Gomez sebagai bakal jurulatih kebangsaan.

Gomez pengendali kelahiran Argentina meninggalkan Johor DT pada 18 Januari lalu atas persetujuan bersama selepas membimbing kelab itu menjuarai Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala AFC pada 2015 dan Piala FA dan Liga Super tahun lalu.

Perkembangan terbaru itu pasti mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukan Datuk Ong Kim Swee selaku pengendali Harimau Malaysia andai Tunku Ismail mengesahkan untuk bertanding dan memenangi kerusi nombor satu FAM pada pemilihan Kongres Ke-53 pada 25 Mac depan.

Tunku Ismail kelmarin sudah mendapat perkenan ayahandanya Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar untuk bertanding jawatan Presiden FAM bagi membantu menaikkan mutu bola sepak negara.

Ketika ini Kim Swee, 46, yang masih lagi memiliki kontrak sehingga hujung tahun ini sedang sibuk dalam persiapan pasukan kebangsaan menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 bulan depan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *