Betulkah Azmin Ali adalah Menteri Besar paling popular di Selangor?

22/2/2017- Baru-baru ini, Institut Darul Ehsan (IDE) mengeluarkan hasil kajian bahawa populariti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor melonjak sebanyak 62 peratus berbanding dengan apa yang dicatatkan IDE pada 2016 sebanyak 58 peratus.

Susulan itu, Timbalan Pengerusi IDE Profesor Datuk Mohammad Redzuan Othman menyifatkan peningkatan tersebut sebagai petanda positif kepada kepimpinan Azmin dalam menerajui negeri dalam pilihan raya akan datang, berdasarkan pendekatan mesra rakyat dan tindakan pro aktif menteri besar berkenaan dalam menyelesaikan pelbagai masalah rakyat dan negeri.

Bagaimanapun, Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo menyifatkan kaji selidik yang dijalankan IDE bahawa populariti Azmin sebagai Menteri Besar Selangor boleh dipertikaikan.

Ini kerana kata beliau, hasil kajian itu tidak boleh dipercayai memandangkan IDE merupakan sebuah badan pemikir yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri Selangor.

“Seperti saya ada agensi di bawah saya dan ia buat kajian untuk saya. Ada atau tidak kebarangkalian yang membuat kajian itu meletakkan perkara negatif kepada tuannya? Mestilah tidak ada, bukan?

“Oleh kerana pusat kajian itu adalah kepunyaan Azmin, memandangkan ia adalah di bawah kerajaan negeri, jadi kajian itu jika hendak mempercayainya atau tidak, hanyalah kajian yang dilakukan oleh agensi bebas,” katanya.

Merujuk hal itu, Ismail menyifatkan Azmin masih lagi mempunyai pelbagai kelemahan dalam mentadbir Selangor berbanding penyandang terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Justeru, beliau menegaskan bahawa kajian ini sebenarnya tidak memberi gambaran bahawa Azmin semakin meningkat.

Ini kerana katanya, jika dilihat cara pemerintahan Azmin dan Khalid, sebenarnya Khalid jauh lebih baik dalam soal menguruskan kerajaan negeri dan kepentingan rakyat. Namun untuk Azmin pula berbeza.

“Masalah yang ditimbulkan ketika pentadbiran Azmin lebih banyak jika dibandingkan ketika Khalid sebagai MB.

“Sehingga kini masalah perumahan di Selangor tidak dapat diselesaikan, ia semakin bertambah, bermacam-macam,” ujarnya.

Sementara itu, sebaik sahaja menggantikan Khalid, Azmin dihimpit pelbagai kontroversi pentadbiran, antaranya projek gantian kubah masjid negeri, baikpulih pintu gerbang Kota Darul Ehsan dan penangguhan penstrukturan semula industri air.

Bukan itu sahaja, Azmin juga dikaitkan dengan pelbagai dakwaan pemberian projek kepada kroni, termasuk isu kekayaan luar biasa seorang pemimpin PKR di Selangor.

Terbaru, beliau dihimpit dakwaan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, bahawa dana Skim Mesra Usia Emas (SMUE) disalahguna.

Jamal juga bertindak membuat laporan bersabit dakwaannya itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *