Cadangan Wilayah Persekutuan, UMNO Negeri akan bincang dengan Ku Nan.

06/02/2017 – UMNO Pulau Pinang kini hanya menunggu untuk berbincang dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai cadangan menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai sebuah Wilayah Persekutuan.

Cadangan oleh Menteri berkenaan disifatkan sebagai sesuatu yang baru dan juga baik untuk rakyat Pulau Pinang khususnya bangsa melayu yang kini semakin terhimpit oleh polisi berat sebelah pentadbiran DAP negeri.

Jika cadangan berkenaan berjaya direalisasikan, rakyat Pulau Pinang bakal menikmati kehidupan yang lebih baik dan juga kesamarataan agihan peruntukan antara kaum sepertimana di Putrajaya dan juga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dalam satu pertemuan selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri semalam berkata, pihak UMNO negeri akan membincangkan lebih lanjut cadangan berkenaan dengan Tengku Adnan nanti.

“Umno Pulau Pinang mahu mendengar dan meneliti terlebih dahulu pandangan serta cadangan sebenar Tengku Adnan berhubung perkara berkenaan.

“Selepas perbincangan itu, baru kami akan adakan pertemuan dengan parti komponen Barisan Nasional bagi memberi penjelasan, seterusnya memaklumkan kepada rakyat sebelum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu,” katanya beliau.

Menurut Zainal lagi, rakyat Pulau Pinang dinasihatkan agar bertenang dengan cadangan oleh Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan. Apa sahaja cadangan yang dibuat oleh pihak kepimpinan negara sudah tentunya demi kebaikan rakyat dan bukannya untuk merosakkan kesejahteraan negara.

“Rakyat Pulau Pinang jangan terpengaruh dengan isu itu sehingga menimbulkan kebencian kepada kerajaan pusat kerana setakat ini ia sekadar cadangan dan perlu diperhalusi terlebih dahulu.

“Kalaupun ia dipersetujui kerajaan pusat, ia perlu mendapatkan kebenaran kerajaan negeri, malah keputusan itu melibatkan Perlembagaan serta undang-undang negara. Bukan boleh dibuat dalam masa sehari,” katanya.

Sebelum ini, Tengku Adnan yang turut dikenali sebagai Ku Nan meluahkan cadangan mahu memperluaskan Wilayah Persekutuan dengan memasukkan Pulau Pinang, Langkawi, Kedah dan sebahagian Melaka.

Cadangan tersebut dibuat bagi memastikan kawasan-kawasan terbabit akan mendapat lebih banyak peruntukan dan perhatian dari kerajaan persekutuan dan juga membela nasib rakyat yang didakwa tidak mendapat kebajikan sepenuhnya dari kerajaan negeri.

Ketika ini, kawasan-kawasan yang berada di bawah Wilayah Persekutuan ialah Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan. – Utaranews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *