Chelsea Terus Kukuh Di Persada Liga

LONDON – Chelsea terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Swansea City 3-1 di Stamford Bridge, sebentar tadi.

Ia adalah kemenangan ke-20 skuad kendalian Antonio Conte daripada 26 aksi liga musim ini.

Malah, keputusan itu juga menyaksikan Chelsea mengumpul 63 mata, 11 mata di depan pencabar utama Manchester City.

Chelsea berada di depan pada minit ke-19 menerusi jaringan Cesc Fabregas yang menyudahkan hantaran Pedro Rodriguez.

Pemain Sepanyol itu hampir mencipta gol peribadi kedua tujuh minit kemudian, tapi percubaannya berjaya diselamatkan penjaga gol Swansea, Lukasz Fabianski.

Sebaliknya, Fernando Llorente berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan babak pertama selepas menanduk masuk bola sepakan percuma Gylfi Sigurdsson.

Bersambung babak kedua, Chelsea terus mendominasi permainan dan Fabregas sekali lagi hampir meletakkan Chelsea di depan pada minit ke-50, namun kali ini palang gol pula menjadi penghalang.

Pedro bagaimanapun menebus kekecewaan Fabregas selepas rembatan cantiknya pada minit ke-71 menewaskan Fabianski buat kali kedua.

Tujuh minit sebelum masa sebenar tamat, gawang Swansea bocor lagi, kali ini menerusi Diego Costa yang bijak menyudahkan hantaran Eden Hazard. – AGENSI

Keputusan lain:

Crystal Palace 1 Middlesbrough 0

Everton 2 Sunderland 0

Hull City 1 Burnley 1

West Bromwich Albion 2 AFC Bournemouth 1

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *