Claudio Ranieri Dipecat kerana Konspirasi Pemain Sendiri

The Times mendedahkan empat pemain Leicester City telah mengadakan perjumpaan beberapa kali bersama pihak pengurusan kelab itu menggesa agar pengendali, Claudio Ranieri dipecat.

Kasper Schmeichel, Wes Morgan, Marc Albrighton dan Jamie Vardy dilaporkan telah berjumpa dengan pemilik kelab, Vichai Srivaddhanaprabha di sebuah hotel penginapan terletak di Sevilla selepas kecundang 2-1 dalam aksi pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara.

Pengendali sementara, Craig Shakespeare, menafikan dakwaan bahawa Ranieri menjadi mangsa pemberontakan pemain, semalam.

Bagaimanapun, pertemuan di antara empat pemain tonggak tersebut bersama-sama Srivaddhanaprabha membuktikan wujud senario kurang menyenangkan di dalam bilik persalinan.

Ranieri disingkirkan di sebuah hotel di Lapangan Terbang East Midlans sejurus tiba dari Sepanyol.

The Sun melaporkan beberapa pemain menyelar taktik pengendali kelahiran Itali itu dan timbul insiden di mana wujud pertikaman lidah di antara pemain dan Ranieri baru-baru ini.

Buktinya, tiada pemain yang mengucapkan terima kasih atau menawarkan tanda simpati terhadap jurulatih berusia 65 tahun itu di laman sosial dalam tempoh 24 jam setelah dipecat.

Difahamkan, Roberto Mancini menjadi pilihan utama untuk mengisi jawatan pengendali namun sumber di Itali berkata bekas pengendali Manchester City itu tidak berminat untuk berhijrah ke Stadium King Power.

Sementara itu, Ranieri bakal menerima pampasan sebanyak GBP3 juta (RM16 juta) ekoran disingkirkan selepas enam bulan mengikat kontrak selama empat tahun bersama kelab itu. – sa

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *