DAP berbaik dengan PPBM untuk elak dari diharamkan ROS?

23/2/2017- Penasihat DAP, Lim Kit Siang didakwa cuba menyelamatkan DAP dari diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan setelah isu pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Tertinggi (CEC) parti itu sehingga kini masih berlarutan dengan berkerjasama dengan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamed.

Ini ekoran terdapat cadangan agar DAP dibubarkan dan kemudian mengambilalih parti Cap Bunga pimpinan Mahathir menerusi penggabungan.

Kit Siang berharap pengaruh Mahathir akan mengelakkan partinya dari terkubur.

Di samping itu, ahli Parlimen Gelang Patah itu berharap juga dapat menggunakan pengalaman dan kelicikan bekas perdana menteri itu mempergunakan hakim dan mahkamah bagi membebaskan anaknya, Lim Guan Eng daripada hukuman.

DAP kini sedang berhadapan dengan masalah dalaman yang sangat kronik. Beberapa fraksi dalam DAP, tidak lagi berselindung menunjukkan kebencian serta penentangan terhadap penguasaan keluarga Lim di dalam DAP.

Ini dapat dilihat apabila Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming dan sepupunya, Ngeh Kor Ham didakwa melaksanakan penghapusan pengaruh “dinasti Lim” secara perlahan-lahan dan berhati-hati tetapi sangat berkesan.

Sementara itu, anak-anak mendiang Karpal Singh yang merupakan sekutu kuat Kit Siang dan Guan Eng juga telah menyatakan rasa tidak puas hati mereka berhubung tindakan Kit Siang berbaik-baik dengan Mahathir.

Selain itu, dapat dilihat DAP Sabah telah berpecah teruk. Manakala DAP Johor pula terus bergelut antara fraksi melibatkan ADUN Skudai Dr Boo Cheng Hau dengan Liew Chin Tong.

Justeru, gabungan antara DAP-pati Cap Bunga pastinya akan menjadi sangat menarik memandangkan Mahathir sudah beberapa kali mengiktiraf DAP sebagai sebuah parti Cina yang sangat kuat.

Malah Mahathir cuba menyifatkan parti itu jauh lebih baik berbanding MCA, Gerakan mahupun SUPP di Sarawak.

Selepas PAS terus berdolak dalih dan membuatkan DAP berputih mata, bahkan telah menelanjangkan banyak rahsia Guan Eng di Pulau Pinang, apa lagi yang ada pada DAP atau lebih tepat lagi Kit Siang dalam usaha menawan Putrajaya melainkan menggabungkan diri mereka dengan parti Cap Bunga, bahkan PAN dan PKR menjadi satu Barisan.

Maka tidak hairanlah mengapa desas-desus DAP akan dibubarkan dan bergabung dengan parti Cap Bunga begitu kuat kedengarannya di kalangan orang politik, termasuklah orang DAP sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *