DAP gagal gunakan Mahathir untuk tarik pengundi Melayu

17/2/2017- Ketua Pemuda Umno Bahagian Parlimen Tapah, Safri Mohd Salleh menyifatkan jalinan hubungan politik antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan DAP yang kononnya dapat memulihkan persepsi anti-Melayu dilihat gagal.

Malah sebaliknya ia menjadi titik pertemuan dalam kalangan orang Melayu untuk menentang parti pembangkang itu.

Ini kerana kata beliau, taktik tersebut gagal memandangkan orang Melayu sudah dapat menilai sejauh mana kebenaran semasa Mahathir mentadbir Malaysia dahulu dengan terbongkarnya beberapa skandal kewangan yang dikaitkan ketika era beliau memegang tampuk kerajaan.

“Saya lihat andai kata itu taktik DAP gunakan, ia kurang berjaya. Sebaliknya, ia membuka mata rakyat khususnya orang Melayu tentang apa yang berlaku semasa era pentadbiran Dr Mahathir.

“Orang Melayu dapat menilai sejauh mana kebenaran masa dahulu Dr Mahathir memerintah negara. Apa yang berlaku sekarang ialah orang ramai mula menyerang Dr Mahathir balik,” katanya.

Safri berkata, ini ekoran skandal kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara pada sekitar 1990-an semasa zaman pemerintahan Mahathir mendedahkan banyak wang yang hilang tidak dapat dikesan.

“Skandal tersebut kini dibangkitkan semula, malah kerajaan juga sudah mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk meneliti dan menyiasat berhubung kehilangan wang negara itu,” ujarnya.

Selain itu, Safri menyifatkan protes dalam kalangan pemimpin dalam DAP juga semakin lantang apabila hubungan dengan Mahathir dijalin.

Ini dapat dilihat apabila tindakan empat wakil rakyat DAP dari Melaka keluar parti antara bibit protes awal dalam parti itu.

“Dalam kalangan pemimpin DAP ada yang tidak berpuas hati dengan keadaan ini dan mereka protes, di Melaka adalah contoh terbaik kepada perpecahan yang sedang berlaku dalam parti itu,” katanya.

Bagaimanapun, Safri melihat dari satu sudut lain keadaan politik semasa yang dihadapi ketika ini memberi kelebihan kepada orang Melayu untuk lebih bersatu, khususnya antara Pas dan UMNO sendiri.

“Saya lihat apabila berlaku keadaan politik semasa ini, ia mula memperlihatkan kebersamaan dikalangan orang Melayu wujud.

“Kita perlu gunakan kelebihan ini untuk menyatukan orang Melayu khususnya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *