Doktor Dedah Ramai Umat Melayu Tertipu Dengan Testimony Palsu

03/02/2017 – Tidak dapat dinafikan perniagaan di Malaysia memang terlalu penuh dengan lambakan produk kesihatan. Dari pil, krim, dan jus-jus kesihatan semuanya ada. Sebut sahaja apa yang mahu pasti ada dijual.

Namun begitu, ramai pengguna terlalu mudah terpengaruh dengan testimoni produk entah datang dari mana. Kebanyakkan testimoni yang diberikan menimbulkan keraguan.

Produk kesihatan ini bukan produk yang sesuka hati boleh dijual, tersalah langkah boleh membahayakan nyawa pengguna. Seorang doktor telah berkongsi beberapa kisah menerima pesakit yang telah ‘terpedaya’ dengan iklan-iklan produk kesihatan itu sehingga memberikan kesan bahaya pada kesihatan mereka.

“Seorang ustaz 50 tahun datang klinik untuk temujanji darah tinggi dan kencing manis. Disorong atas kerusi roda. Muda lagi. Saya tanya kenapa ni ustaz, kena stroke ke? Ustaz angguk dan senyum. Saya tanya kenapa sampai boleh kena stroke?

“Darah tinggi tak terkawal ke ustaz? Kata dia dulu dia takmau percaya dengan perubatan moden, ubat yang doktor bagi dia tak makan dan dia telan juz al hid**ah hari hari sampai gula naik mencanak, tekanan darah naik mendadak. Sekarang dia menyesal dan sedih sebab dah banyak lupa banyak surah surah yang dia dah hafal.

“Seorang polis umur 55 tahun, datang untuk pemeriksaan kencing manis dan darah tinggi juga. Alhamdulillah bacaan gula dan tekanan darah semua dah elok dan terkawal cuma bacaan creatinine sedikit tinggi. Maksudnya buah pinggang ada rosak sedikit. Kata dia, dia ada amalkan minum supplemen *** dulu.

“Kata dia masa dia amalkan minum jus kononnya berkhasiat tu dulu, bacaan gula memang akan naik banyak. Jadi, dia berhenti selepas dinasihatkan oleh doktor. Selepas berhenti dan patuh dengan ubat yang dibekalkan, bacaan kembali normal cuma buah pinggang yang dah rosak sukar dipulihkan. Nasib tak sampai ke tahap perlu cuci buah pinggang.

“Ada seorang kenalan umur 25, perempuan dah kena buat peritoneal dialisis ( cuci darah melalui usus). Saya pelik sebab terlalu muda. Kata dia memang salah dia sebab dulu dulu dia ada makan ubat kurus akibat terpedaya dengan iklan di majalah dan tv. Sekarang dia terpaksa redha akibat pilihan yang salah dahulu. Bayangkan di usia semuda itu perlu cuci darah seminggu tiga kali dengan anak yang kecil lagi perlu dijaga,” tulisnya.

Doktor ini menasihati pihak penjual produk kesihatan untuk tidak mengambil mudah apabila menjual produk sehingga sanggup menipu pengguna hanya untuk kaya.

Jika mahu berniaga biar kena ikhlas, setiap satu tindakan kita itu akan dicatat. Walaupun penjual produk hidup kaya tetapi pengguna terpaksa tanggung akibat, tidak anda rasa berdosa pada pengguna? Niat tidak menghalalkan cara. –MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *