Dua Peminat Bola Penang didakwa bawa mercun ke Stadium.

NIBONG TEBAL: Padah membawa mercun ketika menonton perlawanan bola sepak Liga Super, Pulau Pinang menentang Sarawak, Sabtu lepas, 2 lelaki masing-masing dipenjara 4 hari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Jawi selepas mengaku bersalah memiliki mercun.

Majistret Shamsol Azwa Martadza turut memerintahkan pekerja kilang Mohd Afizal Mohd Aziz, 22, dan nelayan Muhamad Khairi Mat Yusoff, 28, dipenjara 6 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Kedua-dua tertuduh dipenjara 4 hari bermula tarikh mereka ditangkap pada 11 Februari lalu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Afizal didakwa memiliki 2 bungkus mercun berisi 12 biji mercun naga di Stadium Batu Kawan pada jam 8.45 malam, 11 Februari lalu.

Muhamad Khairi pula didakwa memiliki 4 biji mercun bola di stadium tersebut pada jam 11 malam tarikh sama.

Mereka yang baru dihadapkan ke mahkamah hari ini didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 7 tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Foo Siew Pheng dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon denda dikurangkan kerana Mohd Afizal dan Muhamad Khairi sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulanginya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *