GB13 Adalah Tulang Belakang Pasukan Sarawak

GB13 bukanlah nama asing di dalam landskap bola sepak Malaysia. Mereka adalah kelompok Ultras yang beroperasi untuk pasukan Sarawak.

Genggam tangan mu kawan
Julang tinggi ke awan
Demi sebuah mimpi
Sarawak sampe mati

Demikianlah sebahagian bait-bait lagu “Ku Tak Kan Berhenti” dilaungkan oleh sekelompok penyokong Sarawak yang mahu dikenali sebagai GB13 usai tamat perlawanan Liga Super Malaysia menentang Melaka tempoh hari.

 

Benar. Sarawak tumpas 0-1 kepada skuad Hang Tuah pada perlawanan tersebut, tetapi sokongan padu yang diberikan oleh GB 13 adalah sesuatu yang luar biasa.

Siapakah GB 13??? Apakah peranan mereka??? Apakah signifikan kehadiran mereka kepada pasukan bola sepak Sarawak???

Pengenalan

GB13 adalah satu gerakan penyokong “garis keras” ultras yang sentiasa berada di belakang pasukan Sarawak baik menang atau kalah. Mereka ibarat nadi kepada pemain ketika beraksi di padang.

GB13 juga dilihat sebagai penyokong yang memastikan setiap pemain tidak berasa bersendirian dalam perjuangan di padang. Hidup mati, susah senang, jatuh bangun sokongan hanya untuk pasukan ‘Ngap Sayot’.

Sejarah GB13

Bermula daripada kesuraman sokongan kepada pasukan Sarawak dalam Liga Malaysia circa 2009 – 2011 , terdetik keinginan untuk mengembalikan kegemilangan prestasi skuad Bujang Senang.

GB13 memulakan usaha untuk mengumpulkan penyokong Sarawak untuk kembali memanaskan “grand stand” Stadium Negeri.

Ia adalah usaha untuk menyatukan sokongan buat skuad Bujang Senang .

“You will never understand if you’re not one of us.” – GB13

Kehadiran GB13 pada peringkat awal berjaya memberi impak positif dan semakin mendapat perhatian dalam setiap perlawanan yang berikutnya.

Gerakan ini mula berkembang dengan kehadiran penyokong lain, yang mula merasakan ini adalah sokongan yang sebenar. Menang atau kalah sentiasa berada dibelakang pasukan.

GB13 tidaklah dapat dijelaskan maknanya satu persatu. Tetapi jelas nombor 13 sangat sinonim dengan negeri Sarawak.

Pada Kad Pengenalan (myKad) diri anak Sarawak rata-ratanya bernombor 13. Jika disingkap sejarah era kebangkitan nasionalisme dan politik negeri.

Muncul juga, suatu ketika dahulu gerakan Rukun 13 oleh Rosli Dhoby sahabat, pernah menggegarkan dunia. Sepotong badik mampu membunuh Gabenor British; The Greatest Empire di dunia pada ketika itu.
Mungkin aura inilah yang menjadi kekuatan (secara tidak langsung) kepada gerakan ultras ini.

Apa jua pun tafsiran tentang GB13, yang pasti ia adalah simbol kesetiaan dan pengorbanan sebenar sebagai orang Sarawak untuk Sarawak.

Mereka lebih menerapkan element “ultras” iaitu sokong “bermati-matian” dalam usaha untuk mengangkat pasukan Sarawak.

Diakui skuad Bujang Senang bukanlah pasukan yang berada di puncak kancah bola sepak tanah air. selepas lewat 90-an.

Ada naik dan turunnya. Namun sokongan mereka tetap utuh dan yakin Sarawak mampu bangkit mencabar penguasaan dalam Liga Malaysia.

Kekalahan demi kekalahan pasti menguji kesetiaan. Saat gah dipersada liga atau ketika terperosok di bawah liga, penyokong yang setia ini tetap ada di curva Distrixtigabelas kebanggaan mereka.

Sokong Sarawak

Trend dan method yang dibawa oleh GB13 adalah lebih “outspoken” dengan laungan chant, pukulan drum, kibaran bendera dan tifo yang mahu mesejh hsampai kepada pemain.

Laungan mereka pasti turut menggerunkan lawan ketika bertarung di Stadium Negeri.

Kelompok yang sentiasa gah berdiri dibelakang pasukan untuk meniupkan semangat, bukan sahaja untuk pemain bahkan penyokong Sarawak yang lain untuk bersama-sama bangkit menyokong pasukan bola sepak Sarawak.

Gerakan utama GB13 hanya ada di Stadium ketika pasukan Sarawak beraksi dan meliputi mereka yang berada di dalam lingkungan curva Distrixtigabelas.

Melaungkan chant, bertepuk tangan serta berkoreografi secara synchronise mengikut arahan “Capo” atau ketua adalah cara GB13.

Penyokong yang hadir digalakkan untuk memakai pakaian berwarna merah atau jersey Sarawak.

Unik

Lagu dan chants GB13 telah digubah secara kreatif dalam bahasa Sarawak sendiri bagi menaikan semangat para penyokong dan pemain di dalam padang.

Tidak terhad terhadap bunyi sorakan, pukulan drum dan kibaran panji juga dimainkan secara teratur mengikut chants yang disorakkan.

Untuk menyampaikan mesej sokongan kepada pemain, GB13 turut menaikkan tifo -kain rentang yang dilukis dengan mesej-mesej untuk menaikkan semangat.

Ia juga digunakan untuk menyampaikan isu kepada umum. Impak usaha ini amat besar apabila ada antara tifo yang dihasilkan menjadi viral serta mencuri perhatian umum.

GB13 untuk semua

GB13 sentiasa mengalu-alukan penyokong Sarawak yang berminat untuk menyertai mereka di curva Distrixtigabelas.

Cuma harus diingatkan ketika berada di kawasan curva, anda harus bersedia untuk mengikuti disiplin yang telah dipraktikkan sejak dari awal lagi oleh GB13.

Bagi yang sering bersama GB13, anda pasti sinonim dengan seorang peminat cilik yang sering mencuri tumpuan.

Komrad cilik berusia 9 tahun dikenali sebagai Mia Zukrina yang telah membesar bersama GB13 sejak usianya 3 tahun.

Di usia yang cukup muda, Mia sudah kenal erti kekentalan mental seorang ‘ultras’ dan kesetiaan terhadap pasukan yang disokong.

Sebenarnya, bukan mudah untuk memupuk rasa minat dan kesetiaan seperti seorang ultras melainkan kerana minat yang mendalam.

Pengorbanan dan kesetiaan

Tekad utama GB13 adalah supaya lebih ramai penyokong untuk turut setia hadir ke stadium menyokong pasukan kesayangan mereka, Sarawak. T

idak lain dan tidak bukan hanya untuk membakar semangat pemain untuk mempersembahkan kualiti bolasepak terbaik.

Kalah dan menang adat permainan, tapi berpantang kalah sebelum berjuang. Itulah maknanya sokongan. Tiket perlawanan adalah tanda sokongan pertama untuk pasukan.

Kesanggupan untuk mengeluarkan wang bagi membeli tiket perlawanan adalah tanda pengorbanan, sokongan dan kesetian kepada pasukan Sarawak.

Disiplin, taat setia, persaudaraan dan hormat adalah pegangan mereka. Persahabatan di curva selalu nya menjadi lebih rapat bagaikan ikatan kekeluargaan.

Maka tidak hairanlah kehadiran mereka di “away games” turut mengundang hormat dan gerun di arena lawan.

Kehadiran GB13 telah membawa satu dimensi baru dalam sokongan dan kesetiaan kepada pasukan bola sepak Sarawak.

Semoga sokongan padu GB13 berupaya mengangkat kembali kegemilangan bola sepak Sarawak satu hari nanti.

Sarawak per sempre : Sarawak sampai mati.

Untuk pengetahuan semua, penulisan ini ditulis dengan izin dan disunting oleh pihak GB13 sendiri untuk ketepatan fakta dan info. – sb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *