Geng Mahathir ‘jilat’ Lim Kit Siang demi jatuhkan pemimpin Islam.

24/02/2017 – Walaupun ramai di kalangan pemimpin Umno dan Pas yang menganggap veteran DAP Lim Kit Siang sebagai cauvinis dan anti-Melayu, lain pula halnya dengan bekas Menteri dan pemimpin Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

Bagi Sanusi, ahli parlimen Gelang Patah itu bukanlah pemimpin jahat dan teruk seperti yang sering ditohmah, malah permasalahan besar negara tidak satupun berpunca daripada beliau.

Sanusi yang pernah menjawat Menteri Besar Kedah turut menggariskan 29 isu atau permasalahan negara dalam status terbarunya di laman blog beliau.

Bagi beliau, Kit Siang tidak menolak Perlembagaan, mendaulatkan Raja-raja Melayu, menyokong Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan selain menghormati Islam sebagai agama Persekutuan.

Malah, menurut Sanusi, Kit Siang bukanlah sosok yang telah mengakibatkan pelbagai institusi Melayu seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Tabung Haji rosak dengan macam-macam penyelewengan seperti yang dilakukan Umno.

“Alangkah baiknya jika ramai pemimpin Melayu seperti Lim Kit Siang,” tulisnya di blog peribadi beliau.

Beliau yang juga bekas Menteri Pertanian turut menempelak pihak yang memandang negatif usaha sama Kit Siang dan Tun Mahathir dalam menentang penyelewengan, rasuah dan pengkhianatan kepada negara.

“Salahkah Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk membetulkan kesilapannya kerana telah salah menanam budi dan memilih pengganti-penggantinya yang beliau tidak sangka menjadikan negara dipandang hina seperti sekarang dan rakyat jelata menderita kerana beban hutang negara yang bertimbun dan tidak mungkin selesai dibayar oleh anak, cucu dan cicit kita semua,” ujarnya.

Tulisan Sanusi boleh dilayari di sanusijunid.blogspot.my/2017/02/zahid-pilih-dap.html

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *