Guan Eng perlu salahkan diri sendiri sebelum salahkan pihak lain

16/2/2017 – Seorang bekas ahli DAP, Tan Tuan Tat menyindir parti berkenaan kerana lebih suka menyalahkan orang lain bersabit tindakan empat wakil rakyat DAP dari Melaka keluar parti baru-baru ini.

Tan menganggap kepimpinan DAP mempunyai pandangan yang sempit dan sepatutnya sedar bahawa masalah yang membelenggu parti itu telah ‘membarah’ sekian lama sebelum empat wakil rakyat tersebut mengambil tindakan keluar parti.

“Mereka punyai pandangan yang terlampau sempit. Anda sepatutnya selesaikan masalah dalam parti terlebih dahulu.

“Sekarang bila ADUN dan Ahli Parlimen ambil keputusan keluar parti, mereka (pimpinan) keluarkan kata-kata yang tidak masuk akal.

“Seperti yang berlaku dulu semasa saya ambil keputusan tinggalkan parti, mereka kata mereka sudah memecat saya. Jadi kelakar bukan, khususnya Tan Kok Wai, bagaimana dia boleh kata parti sudah pecat saya.

“Tapi hakikatnya saya ‘pecat’ mereka dulu sebelum mereka pecat saya,” katanya.

Tan menyifatkan DAP akan mencipta alasan dan menjatuhkan maruah ahli yang tidak sehaluan dengan parti bagi menyembunyikan imej buruk,

Sementara itu, beliau mengulas mengenai tindakan empat wakil rakyat tersebut yang keluar parti pada Ahad lalu, berkata beliau percaya tindakan itu didorong rasa kecewa dan hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.

Malah Tan tidak menolak keakraban DAP dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad, antara punca kepada tindakan keluar parti keempat-empat wakil rakyat berkenaan.

“Iya, ini salah satu puncanya. Ahli dan akar umbi gigih berjuang menentang Mahathir, tetapi sekarang tiba-tiba duduk semeja,” katanya.

Ahad lalu, empat wakil rakyat DAP Melaka mengumumkan keluar parti selepas mempertimbangkan keputusan itu secara wajar.

Tindakan keempat-empat mereka itu ekoran mendakwa DAP telah menyimpang daripada matlamat asalnya.

Wakil rakyat tersebut ialah, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Goh Leong San; Lim Jak Wong (Bachang) dan Chin Choong Seong (Kesidang).

Di samping itu, Tan juga tidak menolak kemungkinan akan ada ahli parti yang akan mengikut jejak empat wakil rakyat berkenaan berdasarkan senario dan perkembangan terbaru yang berlaku kini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *