Gula-Gula mirip Pewangi Ketiak Dijual Pada Kanak-Kanak

24/02/2017 –Di zaman sekolah dahulu, kanak-kanak memang sudah biasa membeli gula-gula dari kedai. Biasanya gula-gula yang amat popular sekitar 80-an dan 90-an terdapat dalam bentuk gula-gula tablet, gula-gula bentuk bendera dan bentuk gula-gula biasa.

Namun begitu, apabila zaman sudah semakin maju bentuk gula-gula yang mula di jual pada kanak-kanak juga sudah semakin berubah. Malah, bentuk gula-gula yang dijual pada kanak-kanak juga sangat pelik.

Seorang lelaki menggunakan akaun Facebook Apeng Impian telah memuat naik beberapa keping gambar di media sosial menunjukkan anaknya sedang memakan satu jenis gula-gula bentuk seperti pewangi ketiak (deodorant).

Perkongsian itu betul-betul telah mengejutkan ramai netizen, tidak menyangka gula-gula seperti ini boleh dijual pada kanak-kanak. Perkara ini sangat membimbangkan ibu bapa kerana tidak mustahil jika kanak-kanak terjumpa deodorant di rumah, mereka akan menyangka itu adalah gula-gula dan memakannya.

Memakan deodorant boleh membahayakan nyawa kanak-kanak kerana bahan yang terkandung di dalamnya dikhuatiri mengandungi racun.

“Ya Allah, terkejutnya ayah bila ayah tengok anak ayah makan gula-gula yang hampir sama dengan pewangi ketiak ayah yang berjenama Deodorant Nivea.

“Betul-betul saya terkejut tadi, saya terus bertanya kepada anak, di mana dia membeli gula-gula macam ni. Kata anak saya, dia membeli di luar pagar sekolah.

“Lalu anak saya, si abang bertanya kepada saya, kenapa ayah tanya? Saya hanya menjawab gula-gula tersebut seperti saya punya pewangi ketiak,” tulis Apengg.

Lelaki itu meminta ibu bapa di luar sana untuk memerhatikan setiap gula-gula yang dibeli oleh anak-anak. Dikhuatiri gula-gula seperti ini akan membuatkan kanak-kanak kecil keliru dan menyangka deodorant juga adalah satu gula-gula yang boleh dimakan.

Selain itu, peniaga atau penjual gula-gula juga perlulah memainkan peranan penting untuk tidak menjual gula-gula yang ‘pelik’ pada kanak-kanak. Jangan hanya memikirkan untung sahaja tanpa memikirkan bahaya yang akan berlaku pada kanak-kanak kecil yang masih tidak mengetahui apa-apa. –MissA/UtaraNews.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *