Guru pencen dipenjara 16 tahun kerana 45 kesalahan seks terhadap kanak-kanak.

LONDON: Seorang guru bahasa Inggeris yang sudah bersara dijatuhi hukuman penjara sekurang-kurangnya 16 tahun pada Rabu (8 Feb) atas kesalahan-kesalahan seks yang disifatkan oleh hakim sebagai “katalog mengerikan” terhadap kanak-kanak di Thailand dan Britain.

Mark Frost, 70 tahun, mengaku melakukan 45 kesalahan seks terhadap sembilan kanak-kanak di Thailand antara tahun 2009 dan 2012 dan dua pelajar rakyat Britain pada tahun 1990an.

Kesalahannya termasuk merogol, serangan seksual dan memulakan kegiatan seksual dengan budak bawah usia 13 tahun. Mangsanya pula dalam lingkungan usia antara 10 dengan 15 tahun.

Di Mahkamah Penjenayah Pusat England di London, dia dijatuhi 13 hukuman penjara seumur hidup yang dijalankan serentak dan akan meringkuk di penjara bagi tempoh minimum 16 tahun.

Kesalahan-kesalahan yang dilakukannya “adalah katalog penderaan seks yang mengerikan”, kata hakim Mark Lucraft.

“Jelas anda obses dengan penderaan seksual ke atas budak-budak lelaki dan terdapat bukti perancangan dan persediaan yang anda lakukan. Perbuatan anda terhadap setiap seorang daripada mangsa adalah dahsyat dan amat mengharukan.”

Beliau menambah, kesalahan Frost “amat mengejutkan” dan dia merupakan seseorang yang akan terus menjadi risiko terhadap kanak-kanak.

Mahkamah diberitahu bagaimana Frost merogol budak-budak lelaki Asia yang hidup serba miskin dan menggalakkan mereka supaya melakukan kegiatan seks setelah mempersiapkan mereka dengan memberikan wang serta gula-gula.

“Bukti-bukti yang menggangu perasaan yang dibentangkan oleh pihak pendakwa raya dalam kes ini memaparkan kesengsaraan mangsa akibat perbuatan Frost,” tegas Ruona Iguyovwe, dari Khidmat Pendakwa Raya Diraja.

“Selama bertahun-tahun, Frost berulang-kali mengeksploitasi mangsa-mangsa yang masih muda dan tidak dapat mempertahankan diri, baik di Britain mahupun di Thailand, semata-mata bagi melepaskan kepuasan seksualnya sendiri.

“Kesalahannya menyebabkan masalah psikologi ke atas semua kanak-kanak yang dideranya, kebanyakannya kini sudah cukup dewasa untuk memahami apa yang sudah berlaku ke atas diri mereka.”

Persatuan Nasional bagi Pencegahan Kekejaman Ke Atas Kanak-Kanak (NSPCC) menggesa mangsa-mangsa lain supaya tampil ke hadapan.

“Perbuatan keji Mark Frost mendera kanak-kanak selama lebih suku abad di Britain dan juga di luar negara serta hukuman yang dijatuhkan ke atasnya hari ini mungkin menyebabkan dia dipenjara seumur hidupnya,” menurut seorang jurucakap.

“Frost ialah seorang pedofilia prolifik dan berbahaya yang bertugas sebagai seorang guru dan pemimpin pengakap selama berdekad-dekad. Kami berharap sesiapa yang mengalami kesengsaraan kini mendapat kekuatan untuk tampil dan bersuara.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *