Hadi Awang Gesa ‘Penyokong Pakatan’ dalam PAS agar keluar parti.

17/2/2017- Hari ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan sekali lagi pendirian tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika parti itu menjalin hubungan dengan DAP dan Amanah.

Hadi menegaskan keputusan itu adalah muktamad selaras dengan garis panduan yang ditetapkan PAS sebelum ini.

“Terpulang kepada dia (PPBM) untuk bekerjasama dengan DAP atau Amanah tetapi PAS ada garis panduan iaitu kita tidak bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan kedua-dua parti tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan bahawa parti itu akan mengadakan kerjasama dengan DAP susulan kenyataan Hadi yang PAS tidak akan bekerjasama dengan PPBM untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Hadi membuat kenyataan itu selepas Mahathir berkata PPBM memberi tempoh sebulan untuk PAS membuat keputusan berhubung kerjasama kedua-dua parti tersebut.

Sementara itu, Hadi turut mengulas tindakan Ahi Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar yang kerap mengkritik kepimpinan PAS apabila mengatakan tindakan disiplin akan dikenakan jika jawatankuasa disiplin parti mendapati Mahfuz bersalah.

“Saya dimaklumkan ada laporan yang dibuat ke atas beliau (Mahfuz) kepada jawatankuasa disiplin parti. Kita tunggu sahaja keputusannya nanti,” katanya.

Di samping itu, Hadi menasihati pemimpin dan ahli PAS yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti atau tidak dapat menerima dasar PAS agar keluar parti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *