Imej PAS akan rosak jika berkerjasama dengan Parti Mahathir

17/02/2017 – Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Dr Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan jika PAS mengambil pendirian untuk menjalinkan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), langkah itu dilihat akan menjejaskan kewibawaan PAS selaku parti bertunjangkan Islam di negara ini.

Ini kerana kata beliau, kerjasama itu kan membuat hubungan dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dalam Gagasan Sejahtera akan berkecamuk dan memberikan kesan yang buruk kepada parti berkenaan.

“Ketetapan rasmi PAS sebelum ini adalah ia akan menyertai PRU14 sebagai Blok Ketiga yang dikenali dengan nama Gagasan Sejahtera.

“Jadi jika parti itu menjalinkan kerjasama lain di luar Gagasan Sejahtera, ia boleh menjejaskan kewibawaan PAS.

“Mursyidul Am, Ustaz Hashim Jasin, dan Presiden sering menyebut bahawa PAS sentiasa membuka pintu kerjasama kepada mana-mana parti politik melalui platform Gasasan Sejahtera dengan syarat mereka menerima kepemimpinan Islam dan mengakui perjuangan Islam,” katanya.

Sebelum ini Presiden Ikatan, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir menegaskan bahawa parti itu sedia untuk memutuskan hubungan dengan PAS sekiranya Abdul Hadi menerima kerjasama yang dihulurkan oleh PPBM bagi menghadapi UMNO pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) kelak.

Hari ini parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan memuktamadkan keputusan sama ada menjalinkan hubungan dan menyambut salam kerjasama dengan PPBM sebagaimana beberapa rundingan yang berlangsung sebelum ini.

Kedua-dua parti sebelum ini dilaporkan sibuk mengadakan rundingan pada 1 Februari lalu bagi menjayakan kerjasama politik bagi mendepani PRU14 kelak.

Malah telah menyiapkan draf kerjasama di antara kedua-dua parti kearah kerjasama yang lebih realistik.

Dalam pada itu, Kamarul berkata, sekiranya Abdul Hadi menerima kerjasama berkenaan, maka ia bertentangan dengan prinsip beliau sebelum ini yang enggan bekerjasama dengan mana-mana parti yang bersekongkol dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP.

“Saya akan merasa terkejut jika PAS menerima cadangan kerjasama dari PPBM kerana Abdul Hadi dan Datuk Takiyuddin Hasan, selain beberapa pemimpin PAS lain telah menyatakan secara terbuka bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang bersekongkol dengan DAP dan Amanah,” katanya.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini memberi tempoh sebulan kepada pemimpin PAS untuk memutuskan sama ada mahu menyertai Pakatan Harapan (PH) atau tidak.

Bagaimanpun Abdul Hadi telah menegaskan pendirian bahawa PAS tidak akan menjalinkan hubungan dengan PPBM atas alasan ia mempunyai kerjasama politik dengan DAP dan PAN.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *