Jangan Ambil Mudah Dengan Pasukan Pulau Pinang – Baddrol Bakhtiar

ALOR SETAR – Pemain senior Kedah, Baddrol Bakhtiar meminta semua rakan sepasukannya terus mengekalkan disiplin yang tinggi dalam aksi Liga Super menentang Pulau Pinang di Stadium Darul Aman Sabtu ini.

Baddrol berkata, disiplin tinggi yang dipamerkan Kedah dalam lima perlawanan Liga Super sejak bermulanya Liga Malaysia pada 20 Januari lalu perlu diteruskan bagi memastikan Kedah kekal konsisten dalam kedudukan terkini sebagai pendahulu liga.

“Jika kita mahu terus kekal mengutip kemenangan dengan rekod tanpa kalah, kita perlu kekalkan disiplin tinggi dalam setiap perlawanan tanpa mengira siapa lawan kita.”

“Jangan ambil mudah dan cepat berasa selesa dengan pencapaian yang kita capai sebaliknya kita perlu teruskan usaha memperbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Baddrol juga mengakui belum puas hati dengan pencapaian diri sendiri walaupun sudah menyumbat empat gol dalam Liga Super setakat ini.

“Masih banyak ruang dalam permainan yang perlu saya tingkatkan dan saya berazam mahu terus mempertingkatkan tahap permainan ke peringkat yang lebih baik.”

“Kita perlu ingat, setiap pemain dan pasukan lain juga berlumba lumba untuk meningkatkan prestasi masing masing ke tahap lebih baik pada musim ini dan pastinya persembahan yang akan ditampilkan oleh mereka juga akan lebih baik pada musim ini.”

“Jadi, persaingan inilah yang akan membangkitkan lagi semangat semua pemain dalam memberi aksi persembahan terbaik untuk setiap pasukan yang diwakili.”

“Saya berharap Kedah dapat meneruskan rentak kemenangan pada perlawanan bertemu Pulau Pinang Sabtu ini dan menambah koleksi tiga mata dalam usaha mengukuhkan lagi kedudukan Kedah pada carta Liga Super,” katanya. – bh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *