Kedah VS Pulau Pinang – Ini Adalah Derbi Utara

Dalam mana-mana derbi di dunia, prestasi semasa itu tolak ke tepi. Ia adalah isu semangat untuk tidak kalah dalam perlawanan ini.

Derbi merujuk kepada perlawanan di antara pasukan jiran. Kedah dan Pulau Pinang memiliki persamaan linguistik dan penutur bahasa Utara.

Saya boleh katakan, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, inilah derbi yang paling panas dalam bola sepak Malaysia.

Namun kami bukanlah mahu menjadi batu api untuk membangkitkan cerita lama. Ia cuma catatan peristiwa betapa perlawanan ini selayaknya dipanggil derbi.

Semangat mahu menjadi ‘raja’ di utara untuk pusingan pertama. Pusingan ke-2 nanti cerita lain.

Semangat tidak mahu kalah di dalam perlawanan ini membuatkan derbi ini bukan perlawanan mudah untuk pemain di atas padang.

Mereka perlu melaksanakan misi untuk memastikan sama ada panji Hijau Kuning ataupun Biru Putih yang akan terpacak megah di puncak kejayaan.

Kemenangan dalam perlawanan ini ada nilai yang tersendiri. Jangan bandingkannya dengan kejuaraan liga atau menang mana-mana piala. Ia adalah kemenangan perlawanan derbi.

Jika Kedah mahu menambah motivasi lebih tinggi dalam pasukan, inilah masanya.

Jika pemain-pemain Pulau Pinang dan Ashley Westwood mahu memenangi hati peminat mereka, inilah masanya.

Pulau Pinang bukanlah lawan mudah untuk pasukan Kedah. 7 perlawanan terakhir kedua-dua pasukan Kedah gagal menewaskan Pulau Pinang.

Daripada 7 perlawanan terakhir tersebut 2 daripadanya dimenangi Pulau Pinang. Dalam 5 perlawanan terakhir, setelah 4 perlawanan seri, Pulau Pinang menewaskan Kedah pada perlawanan terakhir mereka.

Kedah kini dalam usaha untuk kekal di persada liga. Jika menang Kedah tidak perlu kisah tentang keputusan dari mana-mana perlawanan.

Pulau Pinang sudah menemui sedikit sentuhan di hadapan gol tetapi pertahanan mereka pula bocor teruk.

Ini adalah perlawanan yang harus penyokong Kedah dan Pulau Pinang nikmati suasana di stadium. Ia adalah derbi.

Dalam pada kehangatan dan emosi, kami berharap semua penyokong tetap kekalkan semangat persaudaraan.

Intensiti itu hanya 90 minit di padang, di luar padang segalanya sudah berakhir. Kekalkan semangat kesukanan!

Selamat berhari derbi kepada orang Utara. Semoga pasukan terbaik akan menang. – sb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *