Kerajaan disaran jadikan sistem pendidikan negara berkonsepkan Islam

21/2/2017– Pensyarah Kanan Pendidikan Falsafah, Universiti Stellenbosch Afrika Selatan, Prof Dr Yusef Waghid menggesa kerajaan mengubah sistem pendidikan negara supaya selari dengan tiga konsep ketamadunan Islam bagi membina kelompok masyarakat pintar dan berfikiran kritis.

Tiga konsep berkenaan adalah tafakur (muhasabah), zikir (syukur) dan taaruf (perkenalan).

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kestabilan Pendidikan: Agama dan Tamadun, pada Persidangan Antarabangsa sempena sambutan ulang tahun ke-25 Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM, hari ini.

Menurut Yusef, perubahan berkenaan perlu dibuat di peringkat penggubal dasar dan tenaga pengajar dalam sesebuah institusi sebelum dipraktikkan kepada pelajar.

Katanya, golongan atasan perlu menjalani proses berkenaan terlebih dulu supaya mereka boleh menyediakan satu penanda aras dan model ketamadunan Islam yang baik.

Beliau menegaskan bahawa tenaga pengajar perlu mengimbangi amal dan ilmu sebagai asas dalam pendidikan supaya pelajar mudah menerima pembelajaran dengan baik, bukan sekadar ‘melepas batok di tangga’.

“Ini kerana, tenaga pengajar atau guru yang akan memacu pelajar menjadi lebih baik sebelum golongan ini boleh membina kesinambungan ketamadunan Islam terbaik” katanya.

Selain Yusef, turut membentangkan kertas kerja sesi pagi adalah Timbalan Dekan Program Pertukaran Maklumat, Fakulti Perubatan King Fahad, Riyad, Prof Dr Omar Hassan K Kasule bertajuk Pengurusan Perubatan Pencegahan Kesihatan Awam Mengikut Islam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *