Kerjasama Bersatu dan PAS, Mukhriz mengadu nasib pada Guan Eng..

04/02/2017 – DAP mempersoalkan pendirian PAS berhubung rundingan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng yang dipetik Malaysiakini berkata, ini kerana kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam bercanggah dengan keputusan mesyuarat pada Rabu lalu antara PPBM-PAS.

Mesyuarat antara dua parti itu berlangsung secara rahsia dua hari lalu yang mana PPBM diwakil Timbalan Presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, manakala PAS turut diwakili Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Guan Eng berkata Mukhriz berjumpa dengan beliau semasa menghadiri di Rumah Terbuka Pakatan Harapan di Alor Setar, Kedah malam semalam dan menjelaskan perkara itu kepadanya.

“Mukhriz seolah-olah keliru berhubung perkara itu, kita akan membincangkannya pada 7 Februari apabila kita berjumpa di Kuala Lumpur,” katanya.

Guan Eng berkata demikian mengulas soalan mengenai pendirian DAP berhubung pertemuan PAS dan PPBM untuk membentuk satu jawatankuasa induk untuk membincangkan kerjasama dalam PRU14.

Hadi semalam dilaporkan berkata, pertemuan antara partinya dengan PPBM pada Rabu lalu, belum membawa ke arah kerjasama antara kedua-dua parti.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, pertemuan berkenaan adalah pertemuan biasa atas permintaan PPBM, dan bukan suatu perundingan khusus.

Kenyataan Hadi itu muncul ketika mana pemimpin pembangkang lain menyambut baik perkembangan daripada pertemuan PAS-PPBM yang pada mereka memberi satu ‘harapan’ baru.

Justeru Guan Eng melahirkan harapan bahawa keputusan untuk bekerjasama atau sebaliknya antara kedua-dua parti akan dibuat secepat mungkin.

“Kami berharap untuk mendengar keputusan itu pada kadar segera, dan bukan hanya melalui media, kerana kita adalah sekutu, dan ini menjadi amalan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *